Berita

Kemboja: Rakyat Amerika dan Nigeria dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan dadah

- Diterbit 12 Januari 2023 3:39 AM MYT

SEORANG lelaki Amerika dan rakannya warga Nigeria disabitkan bersalah oleh sebuah Mahkamah di Kemboja atas kesalahan mengedar dadah dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, lapor Xinhua.

Matthew David Sample, 40, dan warga Nigeria David Vincent, 48, ditahan di Phnom Penh pada Februari 2021 kerana didakwa mengedar 1.31 kilogram meth kristal dan nimetazepam.

Kedua-dua lelaki itu didakwa atas tuduhan “memiliki, membawa dan mengedar dadah” di bawah Artikel 40 Undang-undang Kemboja mengenai Kawalan Dadah, memetik keputusan mahkamah yang dibacakan oleh Hakim Ketua Mahkamah Perbandaran Phnom Penh, Kim Sokunthea.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua lelaki itu membayar denda AS$10,000.

Menurut keputusan itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda AS$1,000 kepada seorang lagi rakan subahat mereka dari Kemboja, Theam Tola, 34.

Menurut Jabatan Polis Antidadah,  pihak berkuasa menahan 14,784 suspek berkaitan kesalahan dadah pada 2022 dan merampas sejumlah 14.5 tan dadah terlarang. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas