Berita

Kelab Berbasikal Takong muncul juara

PESERTA Kelab Berbasikal Takong yang menjuarai Race Kampung PCP baru-baru ini.
- Diterbit 18 Oktober 2019 5:10 AM MYT

TERTARIK dengan format gabungan tiga disiplin bagi kategori Race Kampung, Kelab Berbasikal Takong menghantar 10 ahlinya untuk beraksi pada Putrajaya Challenge Park (PCP) Adrenaline Fest 2019 yang diadakan di Kompleks Sukan Lasak, Taman Cabaran Presint 5, Putrajaya baru-baru ini.

Meletakkan peserta-peserta pilihan iaitu ahli yang merupakan pemenang podium dalam setiap perlumbaan di dalam negara, Kelab Berbasikal Takong berjaya muncul dengan catatan masa keseluruhan 3 jam 40 minit iaitu 15 minit mendahului Kelab Kuntau yang berada di tangga kedua.

Bagi Mohamed Edha Mohamad Ali yang juga salah seorang peserta, menyertai pertandingan yang menggabungkan tiga disiplin adalah satu cabaran besar kerana kelabnya berteraskan disiplin road bike dan cross country sahaja.

Oleh itu, dengan menyertai Race Kampung yang turut menggabungkan satu lagi disiplin iaitu downhill, Kelab Berbasikal Takong dapat merasai cabaran baharu.

“Format Race Kampung sebelum ini lebih kepada Enduro, maka sebahagian daripada kami memang aktif mengambil bahagian dari Race Kampung yang pertama.

“Perlumbaan ini tidak mengganggu tugasan hakiki sebab latihan secara berkumpulan dilakukan pada hujung minggu. Cuma latihan individu untuk mencapai tahap kecergasan dan endurance yang memuaskan dilakukan pada hari biasa.

“Format Enduro adalah gabungan cross country dan downhill. Di mana masa hanya diambil pada permulaan di puncak bukit hingga habis menuruni bukit. Minimum tiga trek akan digunakan dan hendaklah mengayuh basikal memanjat bukit untuk ke permulaan trek yang seterusnya dan mengulanginya hingga habis semua trek yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Mohamed Edha, bagi pertandingan Race Kampung siri 1 hingga 6 beberapa Format Enduro telah disediakan. Katanya, bagi kali ini, setiap kumpulan perlu mempunyai 10 orang peserta dan membuat tiga disiplin.

“Kiraan masa diambil dari peserta pertama hingga yang ke 10 sampai. Format yang lain adalah secara berganti-ganti yang merangkumi dua orang setiap trek tetapi apabila sampai di garisan penamat, salah seorang hendaklah memanjat bukit untuk memberi gelang kepada pelumba yang seterusnya,” jelasnya.

Secara individu, Mohamed Edha menyatakan, dia pernah menjadi pemenang podium untuk Twilight Chase Enduro 2019 anjuran GoEnduro dan Pcp Enduro 2018 anjuran Doowaroda.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas