Berita

Larian Budi Half Marathon 2020 bakal jadi kalender tahunan Hari Wilayah

SHAHRUDDIN (empat kanan) bersama Ahmad Shamsul ( lima kanan) menunjukkan poster Larian Budi Half Marathon (BHF) 2020 selepas mesyuarat penyelarasan BHF di Menara DBKL.
- Diterbit 17 Oktober 2019 2:10 PM MYT

KUALA LUMPUR – Larian Budi Run Half Marathon (BHM) Putrajaya 2020 bakal menyasarkan rekod himpunan para alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) terbesar bersama-sama pelari tempatan dan antarabangsa.

Acara yang dijadualkan pada 22 Februari tahun hadapan akan menjadi acara kalendar tahunan Hari Wilayah Persekutuan dengan menyasarkan 10,000 peserta yang akan bermula di Dataran Kehakiman, Putrajaya.

Pengarah Programnya, Ahmad Shamsul Bahrin berkata, Alumni UiTM khususnya harus menyertai larian berkenaan kerana hasil kutipan yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Yayasan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) persatuan untuk tujuan kebajikan alumni dan pelajar.

Beliau ditemui selepas mesyuarat penyelarasan BHM 2020 siri pertama di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur yang dipengerusikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr. Husnul Faizal dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) merangkap Timbalan Pengerusi Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), Datuk Zaini Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shamsul memberitahu, sekiranya mendapat sambutan hangat daripada peserta, BHM 2020 mampu mencatatkan satu rekod baharu sebagai ‘Perhimpunan Terbesar Alumni UiTM’ yang pernah diadakan di Malaysia.

“Terdapat sekitar 815,000 alumni UiTM sejak universiti ini ditubuhkan pada 1956. Sasaran BHM 2020 juga ialah menarik penyertaan termasuk kalangan umum sehingga 10,000 orang.

“Sebanyak 16 kategori dipertandingkan antaranya Terbuka Lelaki dan Wanita, Veteran Lelaki dan Wanita, Junior Lelaki dan Perempuan, Lelaki dan Wanita UiTM, Larian Ria, Keluarga dan Tetamu Kenamaan yang melibatkan empat jarak berlainan, 21, 10, 5 dan 3 kilometer.

“Yuran penyertaan yang dikenakan hanyalah antara RM43 hingga RM210 manakala hadiah wang tunai antara RM100 hingga RM500 berserta trofi diberikan kepada pemenang di tangga empat teratas,” katanya.

Tambah Ahmad Shamsul, sejak penyertaan dibuka menerusi atas talian semalam, sebanyak 360 peserta dalam dan luar negara telah mendaftar untuk memeriahkan BHM 2020 iaitu 354 warga tempatan selain dua dari India dan masing-masing seorang dari Kemboja, Indonesia, Jepun dan Maldives.

Larian yang mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, MSWP serta kelulusan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan akan berlangsung dari pukul 5.30 pagi hingga 11 pagi.

Maklumat lanjut boleh dilayari di laman sesawang www.jomrun.com/event/BUDI-Half-Marathon. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas