Kelab, akademi bertanggungjawab dalam pembangunan sukan badminton – Jeremy

Kelab, akademi bertanggungjawab dalam pembangunan sukan badminton – Jeremy

KELAB dan akademi badminton perlu sama-sama bertanggungjawab dalam pembangunan sukan itu dengan membantu meningkatkan bakat baharu di seluruh negara.

Bekas pemain kebangsaan Jeremy Valberg yang juga pemilik Kelab dan Akademi Badminton Valberg berkata sesebuah akademi memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan membimbing pemain muda sejak dari awal untuk berada pada tahap kompetitif.

Setelah asasnya kuat dan stukturnya stabil, bermaksud, apabila bakat di peringkat akar umbi dibentuk dengan baik, mereka akan meningkat dengan mula mewakili daerah, negeri dan kemudiannya menyertai skuad kebangsaan.

“Mungkin tidak semua mampu menyertai skuad kebangsaan dan menjadi pemain dunia, tapi apabila bilangan bakat baharu bertambah, secara tidak langsung akan mendorong pemain kebangsaan untuk menjadi lebih baik atau kedudukan mereka akan segera diganti.

“Agak menyedihkan kerana ketika ini, jurang sangat jauh antara pemain baharu dan sedia ada. Selepas Datuk Lee Chong Wei bersara, kita masih tertunggu-tunggu penggantinya untuk meraih kemenangan di peringkat antarabangsa, manakala jurang antara (pemain perseorangan utama negara) Lee Zii Jia dan pemain perseorangan pelapis negara masih terlalu jauh,” katanya kepada Bernama.

Jeremy pernah bersama-sama skuad kebangsaan pada 1995-1996, bergandingan dengan pasangan beregunya Fadzli Mat Aris, adalah sebahagian daripada skuad projek TUKOM (Piala Thomas, Uber dan Sukan Komanwel) yang dibentuk pada 1996 menjelang Sukan Komanwel 1998 dan Piala Thomas, bersama-sama Wong Choong Hann dan Pang Cheh Chang.

Bekas pemain berusia 44 tahun itu pernah membantu bekas pemain dan pemenang pingat tiga kali Piala Thomas Ong Beng Teong beberapa ketika selepas digugurkan dari pasukan kebangsaan, sentiasa mengikuti rapat perkembangan sukan badminton negara dan akhirnya memutuskan untuk memulakan akademinya sendiri pada 2016.

Bermula di Champion Badminton Court, Petaling Jaya, akademi miliknya telah berkembang dan kini mempunyai dewan sendiri di Rawang dikenali sebagai Victor Arena dengan matlamat melahirkan ramai pemain untuk masa depan.

“Apa yang kita perlukan adalah terus membangunkan bakat baharu seawal usia 5 tahun agar mereka mampu menyertai pertandingan peringkat sekolah, daerah dan negeri. Kita bimbing mereka dengan kemahiran asas, disiplin dan kesungguhan yang diperlukan dalam sukan badminton sejak dari awal kerana tidak semua dilahirkan dengan bakat semula jadi.

“Apabila mereka sudah mencapai tahap tertentu, pasukan kelab dan negeri akan menyerap mereka untuk dikembangkan menjadi pemain yang lebih baik dan mungkin berpeluang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Walaupun mereka tidak berjaya ke peringkat daerah, negeri atau kebangsaan, mereka tetap akan memberikan daya saing walaupun sekadar di peringkat sekolah,” katanya.

Jeremy turut menekankan bahawa walaupun kelab dan akademi badminton mesti terlibat dalam pencarian bakat, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai badan pentadbiran sukan itu di negara ini perlu menyediakan ‘blueprint’ sendiri berhubung bagaimana sistem berjalan untuk memastikan bakat-bakat yang ada digilap menjadi pencabar dunia. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS