Berita

Calon SPM bersedia jawab soalan meskipun hadapi cabaran pembelajaran

- Diterbit 22 Februari 2021 3:40 AM MYT

MESKIPUN banyak menghabiskan masa belajar hanya dalam talian sebelum menjelang hari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hari ini, namun rata-rata pelajar yakin dan bersedia untuk menjawab soalan peperiksaan itu.

Elvereo Muis, 17, berkata suasana belajar dalam keadaan pandemik COVID-19 ketika ini amat sukar dan memberi cabaran berbanding rakan senior sebelum ini.

Bagaimanapun dalam kepayahan itu, Elvereo yakin akan dapat memberi tumpuan terhadap setiap soalan pada hari pertama peperiksaan hari ini iaitu kertas Bahasa Melayu.

“Cabarannya sekolah ditutup dan belajar dalam talian, memang rasa susah sedikit tapi kena berusaha juga supaya tidak ketinggalan belajar,” katanya.

Perasaan sama juga dikongsikan oleh El Deaniel Hakim, 17, yang mengatakan meskipun hanya melalui kelas dalam talian, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mengulang kaji sebagai persiapan menghadapi SPM.

“Alhamdulillah walaupun hanya dalam talian (belajar) setiap mata pelajaran yang ditetapkan, sambil buat ulang kaji, tetapi masih boleh juga belajar,” katanya yang berharap akan dapat menjawab soalan dengan tenang dan lancar.

Dalam pada itu Pangiran Indra Pangiran Tinggal, 46, bapa kepada seorang calon peperiksaan berharap setiap anak-anak yang mengambil SPM hari ini akan diberikan kelancaran dan ketenangan menjawab soalan.

“Kita mendoakan agar anak-anak yang dalam peperiksaan ini, bukan anak saya saja malah semua yang mengikuti peperiksaan akan berjaya kerana peperiksaan tahun ini bukanlah seperti dahulu, peperiksaan kali ini penuh cabaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin dalam kenyataan berkata seramai 37,170 calon di Sabah akan menduduki peperiksaan SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang bermula hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 36,432 orang adalah calon SPM sementara 738 orang adalah calon SVM dan melibatkan 5,393 petugas yang menjaga peperiksaan berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas