Kekecewaan di Kejohanan Olahraga Para Dunia ‘sedarkan’ Muhammad Ziyad
KEGAGALAN mempertahankan pingat emas di Kejohanan Dunia diterima secara positif dan dijadikan pembakar semangat untuk menggandakan usaha bagi mengelak perkara sama berulang. Kredit foto oleh: BERNAMA

Kekecewaan di Kejohanan Olahraga Para Dunia ‘sedarkan’ Muhammad Ziyad

KEGAGALAN mempertahankan pingat emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 menjadi titik perubahan terpenting buat jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli dalam menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo, bulan depan.

Beliau berkata kekecewaan itu menjadi pengajaran untuknya supaya tidak terus berasa selesa setelah menikmati pelbagai kejayaan di pentas dunia dengan kemuncaknya memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro.

Jelasnya, kegagalan mempertahankan pingat emas di Kejohanan Dunia diterima secara positif dan dijadikan pembakar semangat untuk beliau menggandakan usaha bagi mengelak perkara sama berulang ketika turun bertanding dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) di Tokyo.

“Sebenarnya ia satu saingan yang bagus untuk saya, kalau di Kejohanan Dunia saya tak rasa perasaan kalah, saya tidak mungkin berada pada tahap sekarang. Jika di Kejohanan Dunia tempoh hari saya menang emas lagi, mungkin saya akan lalai.

“Pada masa itu, tuhan tunjukkan kepada saya kadang-kadang kita berada di atas dan ada masa di bawah. Kalau kita mahu sentiasa berada di atas, kita kena sentiasa berusaha,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Selepas setahun merangkul pingat emas Olimpik, Muhammad Ziyad meneruskan momentum cemerlang apabila memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.29 meter (m) untuk meraih pingat emas Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Atlet berusia 31 tahun itu kemudian gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menyaksikan atlet Ukrain Maksym Koval merangkul emas dengan catatan 17.11 m sementara beliau meraih pingat perak (17.03 m).

Namun, Muhammad Ziyad kini berada pada tahap prestasi berbeza, dengan beliau memiliki keyakinan serta semangat yang tinggi menjelang Sukan Paralimpik Tokyo yang juga akan menjadi penampilan ketiganya di temasya itu sejak edisi 2012 di London.

Beliau berkata fokus dan disiplin yang diberikan sepanjang menjalani latihan intensif dalam tempoh empat bulan terakhir telah membawa perubahan drastik terhadap prestasinya.

Malah, beliau turut berjaya melepasi rekod kebangsaan 17.54 m milik bekas atlet negara Adi Alifuddin Hussin pada kejohanan simulasi baru-baru ini, namun ia tidak diiktiraf kerana tidak memenuhi kriteria.

“Saya bukan terlalu yakin, tetapi saya yakin untuk pergi ke Tokyo dengan persediaan terbaik. Sebelum ini di Rio persiapan saya 100 peratus, kali ini ke Tokyo saya dapat rasakan persediaan itu capai 110 peratus, lagi hebat daripada sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad olahraga para negara R. Jeganathan berkata Muhammad Ziyad bersama jaguh lompat jauh F20 Abdul Latif Romly merupakan dua prospek pingat emas di Tokyo.

Jeganathan berkata selain sasaran dua pingat emas, beliau menjangkakan skuad olahraga mampu meraih sekurang-kurangnya tambahan satu pingat perak dan satu gangsa pada temasya itu.

“Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) prospek pingat perak kerana kejayaan meraih pingat itu di Kejohanan Dunia dan harap ia dapat dikekalkan (di Tokyo) dan pingat gangsa diletakkan kepada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100 m T36).

“Beliau (Mohamad Ridzuan) bertambah baik, kita akan lihat kemampuan beliau di sana. Sebelum ke Rio, tiada sasaran diletakkan, sama seperti temasya kali ini, tetapi kami telah ke sana dan mempamerkan aksi hebat,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES