Berita

Kedai perkakasan hampir musnah dalam kebakaran

- Diterbit 19 Ogos 2020 3:30 AM MYT

SEBUAH kedai perkasasan hampir musnah dalam kebakaran di Batu 6 3/4, Jalan Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.18 malam tadi.

“Seramai 68 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Jalan Hang Tuah, Bukit Jalil, Sri Petaling, Sentul, Seputeh, Cheras, Keramat dan Taman Tun Dr Ismail digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah malam dan padam sepenuhnya pada jam 4.47 pagi, namun 70 peratus daripada premis berkenaan musnah dalam kebakaran itu.

Beliau berkata tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas