Selebriti

Kedai Percuma Pak Nil ringankan beban mangsa banjir

AZNIL meletakkan barang sumbangan di Kedai Percuma Pak Nil untuk diambil mangsa banjir.
- Diterbit 7 Januari 2022 8:24 AM MYT

BENCANA banjir baru-baru ini membuatkan ramai pihak bimbang dan sekali gus mendorong mereka membantu mangsa-mangsa banjir menerusi pelbagai cara.

Tidak ketinggalan pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil turut menghulurkan bantuan.

Bermula dengan usaha Pak Nil menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Changgang, Banting, Selangor, baru-baru ini, tercetuslah idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil.

Katanya, kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.

“Sebelum ke sana, saya dihubungi salah seorang pengikut Instagram. Dia berkongsi cerita mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.

“Malah ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” katanya yang cukup prihatin dengan nasib mangsa-mangsa banjir.

Buat permulaan ketika itu, penyanyi lagu Apo menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

“Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.

“Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Pak Nil,” jelasnya.

Dalam masa sama, Pak Nik mengalu-alukan mangsa banjir ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.

“Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut atau ‘bank in’ ke 564735801178 (Maybank).

“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya yang berharap Kedai Percuma Pak Nil terus bermanfaat kepada mangsa-mangsa banjir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas