Berita

Kebenaran Umrah : Malaysia sambut baik keputusan Arab Saudi

DATUK DR ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI
- Diterbit 3 November 2020 6:32 AM MYT

KERAJAAN Malaysia menyambut baik keputusan Arab Saudi yang memberikan kebenaran selama 10 hari untuk jemaah luar negara bagi ibadah umrah.

Jemaah dari luar negara khususnya dari Malaysia bagaimanapun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri dan Menteri Luar Negara, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata kedua-dua buah negara akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan Umrah di Tanah Suci.

“Kerajaan akan terus memantau situasi COVID-19 khususnya di Malaysia dan pada masa yang sama meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya Jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagi Kerajaan, keselamatan dan kesihatan Jemaah umrah Malaysia merupakan keutamaan tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, pihak kerajaan mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan agar segala usaha demi memastikan umat Islam di Malaysia dapat kembali ke Tanah Suci dipermudahkan oleh Allah S.W.T. – OLEH AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas