Berita

Kebenaran tunai umrah dijangka diberikan dalam tahun ini – Zulkifli

DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada situasi semasa COVID-19 di negara ini termasuk kadar vaksinasi dan kebenaran kerajaan Arab Saudi. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 5 Ogos 2021 8:34 AM MYT

RAKYAT Malaysia dijangka dibenarkan mengunjungi Arab Saudi termasuk menunaikan ibadah umrah dalam tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada situasi semasa COVID-19 di negara ini termasuk kadar vaksinasi dan kebenaran kerajaan Arab Saudi.

“Insya-Allah dalam tahun ini, malah saya yakin mungkin dalam sebulan dua lagi, tetapi mengikut keadaan COVID-19 yang kita hadapi di samping kebenaran negara sana (Arab Saudi).

“Kita harap isu berkaitan penularan pandemik COVID-19 dapat diredakan sebaik mungkin dan dalam masa sama proses vaksinasi dapat diperbanyakkan lagi,” katanya ditemui pemberita selepas melawat Maahad Darul Quran Rusila, di sini hari ini.

Beliau berkata kebenaran itu juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP kerajaan Arab Saudi.

Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia sejak 1 Ogos lepas, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata kerajaan telah bersiap sedia dengan beberapa tanah perkuburan antaranya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi menampung jumlah kematian akibat pandemik COVID-19 yang semakin meningkat.

Selain itu, katanya, kementerian juga telah mewujudkan sebuah pasukan khas yang antara lain berperanan memastikan jenazah pesakit COVID-19 dikebumikan dengan cepat.

“Kita akan tengok (proses) dari bilik mayat ke tanah perkuburan, kalau boleh kurang 24 jam dan apa yang saya lihat di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini boleh disingkatkan kepada lima atau enam jam. Namun, saya mohon kalau boleh tiga hingga empat jam selesai,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas