Berita

Penghantar makanan koma dilanggar kereta, polis kesan saksi

POLIS mencari saksi kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan motosikal dimana mangsa sedang koma. Kredit foto: Harian Metro
- Diterbit 5 Ogos 2021 8:45 AM MYT

POLIS sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan seorang penghantar makanan yang kini koma akibat dilanggar sebuah kereta di Lebuhraya Damansara – Puchong, pada 25 Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat berkata ketika kemalangan yang berlaku di kawasan berhadapan Setiawalk, Puchong, mangsa dikenali sebagai S. Brandon, 27, sedang dalam perjalanan menghantar makanan dengan menaiki sebuah motosikal jenis Aveta DY.

Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kemalangan berlaku apabila sebuah kereta di lorong paling kiri yang dipandu laju mengubah haluan ke lorong paling kanan seterusnya terlanggar mangsa yang berada di lorong tengah.

“Kereta berkenaan bertindak melarikan diri dan akibat perlanggaran itu (mangsa) mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut dan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 28 Julai lepas.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mohon jika ada saksi yang melihat kejadian itu agar berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp Mohamad Syafiq Mohd Nasir di talian 012-9845477 bagi membantu siasatan,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas