PENYANYI rap Madrizal mengaku terkejut dengan kebakaran yang berlaku di MainRoad, Jalan Ampang, Kuala Lumpur di mana terletaknya kedai gunting rambut miliknya, Mad’s Barbershop.
Menurut Madrizal, kebakaran yang disebabkan litar pintas kira-kira pukul 11 malam tadi itu berlaku sebaik sahaja dia pulang dari Melaka atas urusan bisnes.
Disebabkan litar pintas itu, kedai makan yang berada di tingkat bawah di Mad’s Barbershop terbakar dan menyebabkan seluruh bangunan MainRoad itu black out.
“Ketika itu saya baru sahaja sampai di MainRoad setelah selesai menguruskan hal-hal bisnes di cawangan sana.
“Apabila saya lihat peti suis utama (berhampiran kedai makan) ada percikan api, saya terus menjerit minta semua orang di situ keluar dari bangunan itu.
“Tak lama selepas itu, suis utama itu terus meletup seperti bom kerana voltannya sangat tinggi.
“Memang terkejut bila melihat kebakaran berlaku depan mata saya. Rasa takut pun ada.
“Kemudian saya nampak staf saya yang masih berada di kedai dalam keadaan tergamam. Berdiri tegak. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.
“Saya jerit pada dia, baru dia tersedar dan keluar dari kawasan itu,” katanya yang agak kelam kabut sementara menunggu bomba tiba.

Dalam masa yang sama, Madrizal juga meluahkan rasa syukur apabila kedainya Mad’s Barber terselamat daripada kebakaran.
“Kedai saya selamat. Cuma apabila dah berlaku macam ni, saya tak boleh buka kedai selama seminggu.
“Saya tak adalaa rasa nak pindah. Kalau saya sendiri rasa terkesan apatah lagi kedai makan yang terbakar tu.
“Saya dan penyewa kedai di sini menyerahkan hal ini kepada pihak pengurusan.
“Apa-apa pun, saya harap kejadian sebegini tidak berlaku lagi,” jelasnya lagi.
Tentang kerjaya, Madrizal baru sahaja muncul dengan lagu Mamasita, namun lagu itu gagal mendapat tempat ekoran pandemik COVID-19 yang menyekatnya untuk melakukan publisiti lagu itu.
Selain itu, Madrizal juga popular dengan lagu Budak Baru Nak Up, Sembang, Potong Tang Corner, Celup dan Besar Kepala. – WILAYAHKU