KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan bahawa berlakunya sebarang tangkapan terhadap peserta serahan memorandum di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya pada 10 Februari lalu seperti tular di media sosial.
Menurut kementerian itu, peserta penyerahan memorandum terbabit telah dipanggil hanya bertujuan untuk memberikan keterangan polis.
Katanya, ia susulan laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan selari dengan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
“Laporan polis ini ialah tatacara lazim seandainya ada sebarang insiden yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan untuk masuk ke premis Kompleks Setia Perkasa, KDN,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
KDN menambah, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menerangkan perkara tersebut menerusi kenyataan media di mana beberapa orang peserta dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan laporan yang dibuat.
Katanya, tiada tangkapan yang telah dibuat.
“Pengguna media sosial dinasihati untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber tepat bagi mengelakkan sebarang spekulasi di samping sentiasa mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Terdahulu PDRM menafikan menahan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy hari ini, seperti yang dilaporkan menerusi beberapa portal berita.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya hanya merekod percakapan Sevan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. – WILAYAHKU