KBS akan umum inisiatif tambahan bantu golongan belia, sektor sukan terjejas

KBS akan umum inisiatif tambahan bantu golongan belia, sektor sukan terjejas

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengumumkan beberapa inisiatif, yang dapat memanfaatkan golongan belia dan sektor sukan bagi menghadapi cabaran ekonomi dalam tempoh pandemik COVID-19.

Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif KBS itu sebagai rangkuman tambahan kepada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

“KBS menyambut baik usaha kerajaan dengan mengumumkan PEMULIH, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan KBS hari ini.

Reezal Merican berkata, KBS turut berbesar hati dengan pengumuman bantuan ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada operator dan pengusaha industri sukan.

Jelasnya, ia merupakan satu inisiatif yang akan melegakan operator dan pengusaha industri sukan di seluruh negara, yang telah lama tertekan dengan situasi kawalan pergerakan berikutan penularan COVID-19.

Dalam kenyataan sama, Reezal Merican berkata, terdapat beberapa lagi inisiatif melalui PEMULIH yang boleh dimanfaatkan pengusaha industri sukan yang terjejas, antaranya Geran Khas Prihatin 4.0, Program Subsidi Upah 4.0, moratorium, diskaun dan potongan khas cukai.

Sementara itu, Reezal Merican turut berharap para belia dapat mengambil peluang dan manfaat diberikan kerajaan, menerusi sembilan inisiatif dan bantuan melalui PEMULIH, dalam meringankan beban kehidupan mereka ketika negara sedang berdepan situasi mencabar.

Antara sembilan inisiatif dan bantuan yang dikemukakan kerajaan melalui PEMULIH adalah Bantuan Khas COVID-19 (BKC); penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran; kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra; Bantuan Kehilangan Pendapatan; serta Elaun Mencari Pekerjaan.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan PEMULIH berjumlah RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion. – BERNAMA

CATEGORIES