Berita

Kaunter perkhidmatan kerajaan beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai – KSN

PEMBUKAAN kaunter perkhidmatan kerajaan melibatkan perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian dan kehadiran secara fizikal hanya melalui janji temu berjadual. Foto - BERNAMA PUTRAJAYA, 17 Jan -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bercakap ketika ditemui BERNAMA, berhubung Penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat di Pejabat Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra hari ini.
- Diterbit 29 Jun 2021 6:30 AM MYT

KAUNTER perkhidmatan kerajaan akan kembali beroperasi secara fizikal mulai 1 Julai ini dengan tatacara pengoperasian tertentu, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata ketika ini perkhidmatan kaunter kerajaan kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin, tidak beroperasi secara fizikal sejak 1 Jun susulan pelaksanaan fasa pertama Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Menurut Mohd Zuki, keputusan membuka semula kaunter perkhidmatan kerajaan di seluruh negara secara fizikal dengan tatacara pengoperasian itu dibuat setelah meneliti keperluan mendesak berdasarkan maklum balas awam.

Beliau berkata pembukaan kaunter perkhidmatan kerajaan itu melibatkan perkhidmatan yang tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus dan kehadiran secara fizikal hanya melalui janji temu berjadual.

“Ketua jabatan hendaklah memastikan semua prosedur operasi standard COVID-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi setiap masa dalam mengimbangi penyampaian perkhidmatan yang optimum kepada pelanggan dan pencegahan penularan wabak COVID-19 di tempat bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas