Berita

Yang Dipertua Dewan Negara, Dewan Rakyat menghadap Agong

KENDERAAN rasmi yang membawa Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim. Foto - BERNAMA
- Diterbit 29 Jun 2021 6:21 AM MYT

YANG Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Turut hadir pada sesi sembah menghadap yang selesai kira-kira 12.10 tengah hari tadi adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Mohd Rashid berkata sesi pertemuan kira-kira satu jam itu membincangkan pembukaan parlimen seperti titah Seri Paduka sebelum ini.

“Insya-Allah, apa yang dititahkan (Seri Paduka) dalam ruang lingkup melalui nasihat Perdana Menteri untuk kita membuka parlimen. Kita jumpa nanti. Insya-Allah sama ada secara biasa atau hibrid,” katanya kepada pemberita setelah selesai sesi menghadap itu.

Dalam kenyataan bersama Jumaat lepas, Rais dan Azhar berkata persidangan parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.

Sehubungan itu, satu sidang Khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas