Berita

Kastam rampas 82 gelung besi pembinaan bernilai RM2.2 juta

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 April 2024 2:05 PM MYT

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas 82 gelung besi untuk pembinaan seberat 323,278 kilogram bernilai RM2.2 juta termasuk duti import di sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 19 Mac lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor) Norlela Ismail berkata serbuan menerusi Ops Bersepadu itu dilakukan kira-kira 11.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan dagangan besi yang diimport dari sebuah negara di Asia Timur. Pengimport gelung besi berkenaan didapati membuat ikrar tidak benar bagi bahan dagangan itu yang diimport untuk kegunaan sektor pembinaan.

“Semakan terhadap dokumen-dokumen pengimportan disyaki wujud cubaan untuk menyeleweng duti dan cukai terlibat. Kesemua bahan dagangan berkenaan disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata disiasat di bawah Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran tidak benar.

Dalam kes berasingan, Norlela berkata pihaknya turut merampas 1,362.27 liter minuman keras disyaki tidak berkastam di sebuah premis di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor, pada 14 Mac.

Beliau berkata serbuan kira-kira 8 malam itu dilakukan hasil pemerhatian dan pemeriksaan rapi oleh sepasukan anggota daripada bahagian penguatkuasaan Zon Tengah Unit III.

“Modus operandi sindiket ini ialah dengan menyembunyikan pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak berkastam dalam bilik rahsia di premis itu.

“Selain itu, pemeriksaan turut menemukan 800 setem kastam disyaki palsu yang masih belum digunakan selain setem yang telah ditampal pada botol-botol minuman berkenaan,” katanya.

Susulan itu, katanya seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas