Berita

Mahu hidup berkat, rakyat perlu bertaqwa

KHALID (dua dari kanan) bersama Wan Ahmad Uzir (kanan) serta Amir (tiga dari kanan) turut sama mendengar Forum Program Ilmiah di Masjid Muhammad V, Labuan malam ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 3:02 PM MYT

LABUAN – Wilayah Persekutuan mampu menjadi sebuah negeri yang dilimpahi berkat sekiranya warganya mengamalkan kehidupan bertaqwa.

Perkara itu diingat dalam satu Forum Program Ilmiah sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Masjid Sultan Muhammad V di Kampung Lajau di sini malam ini.

Ahli panel, Imam Muda Hassan Yahaya ketika melontarkan pandangan itu berkata, keberkatan sesuatu perkara yang wujud dalam kehidupan seseorang atau masyarakat itu dapat dilihat jika banyak atau bertambah kebaikan yang diperoleh.

Sambil merujuk kepada Ayat 96 Surah al-A’raf, Hassan berkata, sekiranya penduduk di suatu tempat itu beriman dan bertaqwa, Allah akan membuka kepada mereka berkat dari langit dan bumi.

“Syaratnya iman dan taqwa. Berkat kalau dapat hidup aman dan bahagia serta tidak turun bencana,” katanya.

Dalam forum bertajuk ‘Wilayah Berkat Rakyat Sejahtera’ itu, Hassan memberikan analogi bahawa keberkatan tidak dapat dinilai melalui perkara bersifat material seperti mempunyai kenderaan besar atau kecil.

Sebaliknya, jelas beliau, perkara itu bergantung sejauh mana sikap seseorang individu terhadap kecintaannya kepada Allah.

Forum anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan itu turut membariskan Ustaz Shahirul Abdullah yang juga pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan sebagai ahli panel manakala Pengurus Perbankan Pengguna Bank Islam, Faiz Ibrahim sebagai moderator.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan dan Masjid Sultan Muhammad V.

Sementara itu, Shahirul menarik perhatian tentang tiga perkara dinyatakan dalam Surah Al-Asr iaitu keberkatan dinikmati sekiranya warga Wilayah dapat menepati masa dan sentiasa menasihati tentang kesabaran dan kebenaran.

Katanya, manusia yang mendapat keberkatan ialah mereka yang boleh ubah diri kepada kebaikan dan beramal soleh.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

Terdahulu Khalid beramah mesra dengan jemaah di masjid tersebut sebelum turut sama menghayati forum ilmiah itu.

Program kerohanian tersebut dilihat menjadi platform untuk meningkatkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

Bank Islam dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengambil peluang daripada program tersebut untuk mempromosikan produk mereka kepada masyarakat Islam. – WILAYAHKU

IMAM Muda Hassan Yahaya memberikan pandangannya dalam Forum Program Ilmiah bertajuk Wilayah Berkat Rakyat Sejahtera di Masjid Muhammad V, Labuan malam ini. Turut kelihatan Faiz (kiri) dan Shahirul (kanan).
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas