Berita

Kampung Tanjung Aru Nelayan berpotensi jadi tarikan pelancong

AMIR (tengah), Fadilah (tiga dari kiri) dan Harun Ketua Kampung (dua dari kiri) bersama pemenang cabaran memancing di Batin.
- Diterbit 11 Disember 2021 7:30 AM MYT

KAMPUNG Tanjung Aru Nelayan di sini yang mempunyai keunikan dan keindahan alam semula jadi dilihat berpotensi menjadi lokasi tarikan pelancong di pulau ini.

Terletak lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar Labuan, Kampung Tanjung Aru Nelayan bukan sahaja menyajikan pemandangan indah ketika matahari terbit dengan kelibat Gunung Kinabalu tetapi juga menjadi lokasi kaki pancing pesisir pantai.

Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien berkata, Kampung Tanjung Aru Nelayan mempunyai keunikan tersendiri berbanding pantai–pantai lain di Labuan dengan alam semula jadi paya bakau yang masih terpelihara dan pantai ‘dara’ dengan hamparan pasir putih landai dan luas.

“Di samping ketenangan alam semula jadi dan keindahan pemandangan matahari terbit, pantai Tanjung Aru Nelayan juga mula menjadi lokasi kaki pancing pesisir pantai dan pada tahun ini rekod ikan putih atau lebih dikenali dengan panggilan ikan G.T seberat 19.00 kilogram (kg) berjaya dinaikkan di pantai ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penyampain hadiah Program Sunrise Beach di pantai Tanjung Aru Nelayan, di sini pada Ahad lalu.

Peserta pertandingan ‘meramis’ program Sunrise Beach pada Ahad lalu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5 Fadilah Eddy Abdul Khalid berkata pada setiap hujung minggu penduduk kampung akan membuka gerai mini tamu di pantai Tanjung Aru Nelayan yang menyajikan makanan dan minuman tempatan.

“Pada hujung minggu tempat ini menjadi tumpuan warga Labuan untuk beriadah bersama keluarga sambil menikmati hidangan makanan dan minuman di gerai-gerai mini yang dibuka oleh penduduk kampung,” katanya.

Terdahulu, bermula Sabtu berlangsung Program Sunrise Beach yang dianjurkan Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5 bersama Anak Jati Keluarga & Komuniti Kampung Tanjung Aru dan Kelab Labuan Surfcasting (LSC) yang mengadakan beberapa aktiviti antaranya pertandingan memancing tradisi, pertandingan ‘meramis’ dan cabaran memancing di Batin.

Perasmian program itu telah dilancarkan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Senator Datuk Bashir Alias Ahli dan majlis penutup program itu disempurnakan oleh Datuk Seri Amir Hussien pada Ahad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas