Berita

Kampung Baru kekal milik orang Melayu

ANTARA rumah tradisional yang terdapat di Kampung Baru.
- Diterbit 21 September 2019 8:13 AM MYT

KUALA LUMPUR – Andaian bahawa tanah orang Melayu di Kampung Baru akan tergadai adalah tidak benar sekali kerana ia dilindungi sepenuhnya di bawah Seksyen 14 Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Menteri Wilayah Persekutan, Khalid Abd. Samad berkata, akta tersebut memperjelaskan bahawa PKB hendaklah melindungi, memelihara dan memulihara kepentingan orang Melayu.

“Pemilik dan pewaris asal akan terus memiliki hartanah di situ sekali gus masih menjadi penduduk di Kampung Baru,” katanya.

Tegas Khalid, tanah di Kampung Baru tetap akan menjadi milik orang Melayu malah lebih ramai golongan tersebut berpeluang menetap serta mendiami di kawasan tengah ibu kota.

“Besarlah harapan saya agar pemilik dan pewaris tanah dapat memberikan sokongan penuh kepada pihak kerajaan dalam merealisasi impian Kampung Baru untuk masa hadapan.

“Ambillah peluang untuk kita membangun bersama dan menikmati kemakmuran secara adil dan saksama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas