Berita

70 peratus pembangunan semula Kampung Baru libatkan perumahan

TOWNHALL KG BARU
KHALID (tengah) bergambar bersama waris dan penduduk Kampung Baru selepas selesai sesi Town Hall bersama Menteri Wilayah Persekutuan di dewan Perdana Felda Kuala Lumpur. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 21 September 2019 8:01 AM MYT

KUALA LUMPUR – Cadangan pembangunan semula Kampung Baru akan memberikan fokus kepada 70 peratus projek perumahan manakala 30 peratus lagi untuk bangunan komersial.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, sebanyak 50 peratus daripada bilangan unit kediaman yang dibina pula nanti adalah perumahan mampu milik bagi membolehkan orang Melayu membeli dan memiliki hartanah di Kampung Baru.

“Kita menyasarkan pada tahun 2050, penduduk Kampung Baru akan bertambah menjadi 160,000 orang dengan penambahan unit rumah kelak.

“Pelan pembangunan semula ini dijangka mengambil masa selama 30 tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada sesi Town Hall bersama pemilik dan waris Kampung Baru di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, kerajaan turut membentangkan pelan tiga dimensi pembangunan semula Kampung Baru.

Khalid berkata, pembangunan semula melibatkan tanah seluas 154 ekar membabitkan 825 lot daripada keseluruhan 302 ekar di Kampung Baru turut merangkumi 24 peratus kawasan hijau.

Katanya, antara projek utama yang bakal dibangunkan adalah Taman Warisan Melayu berkeluasan 24 ekar merangkumi Kompleks Warisan Melayu, Pusat Kesenian, Persembahan dan Kebudayaan Melayu, kampung warisan, ruang niaga makanan yang lebih tersusun di sepanjang Jalan Raja Muda Musa.

“Juga akan dibangunkan sebuah bangunan mercu tanda Warisan Melayu.

“Saloma Link yang bakal siap penghujung tahun ini akan memberi nilai tambah kepada keseluruhan pelan pembangunan semula Kampung Baru,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas