Berita

“Kalau Semalaman Dapat RM 40 Ribu, Tak Payah Saya Berlakon” – SCHA ELINNEA

jika tidak tindakan undang-undang akan diambil.
- Diterbit 21 Oktober 2020 4:08 AM MYT

PELAKON Scha Elinnea mengaku kecewa dan sedih dengan tuduhan serta fitnah yang dilemparkan kepadanya, kononnya hidup mewah sebagai pelacur kelas atasan. 

Bagi Scha Elinnea atau nama sebenarnya Natasha Mohamed Mubeen,21, dia tidak perlu bekerja keras siang malam jika betul dia melakukan perbuatan tersebut.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat selebriti yang terlibat sebagai pelacur kelas atasan dibayar RM20,000 hingga RM40,000 untuk perkhidmatan satu malam bagi golongan VIP. 

“Kalau semalaman saya dapat RM40 ribu, tak payah saya susah-susah Berlakon. 

“Ini tidak, saya sekarang sedang shooting  tiga drama yang menyebabkan saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuantan kerana lokasi penggambaran yang berbeza.

“Perlukah saya menyusahkan diri jika saya boleh hidup mewah terlibat sebagai pelacur kelas atasan? 

“Jadi, saya sangat terkilan kerana saya bersusah payah mencari rezeki untuk diri sendiri dan juga keluarga. Tidak mungkin saya mahu beri keluarga makan duit hasil pelacuran. 

“Walaupun saya berpakaian seksi, namun saya masih waras dan tahu mana halal dan haram. Seksi hanya imej, itu tidak bermakna saya ni sanggup jual maruah diri,” katanya kepada WILAYAHKU.

SCHA Elinnea harap pihak blogger yang memfitnah dirinya tampil memohon maaf secara terbuka, jika tidak tindakan undang-undang akan diambil.

Menurut Scha lagi, dia juga terkilan apabila ada sebuah blog Lobak Merah menggunakan gambarnya sebagai gambar hiasan dalam sebuah artikel berkaitan pelacur kelas atasan.

“Ini sudah dikira fitnah. Walaupun gambar tersebut dikaburkan tapi orang tahu itu gambar dalam instagram saya. Kalau tidak, bagaimana netizen boleh serang saya?

“Bukan itu sahaja, disebabkan perbuatan blogger ini, ada yang anggap saya melakukan perbuatan tersebut. Mereka siap tanya harga dan mahukan saya,” ujarnya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan semalam, kebetulan Scha menjalani penggambaran drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa di sana.

Scha juga memberi tempoh sehingga esok kepada blogger itu untuk meminta maaf secara terbuka bagi membersihkan semula nama serta fitnah yang dilemparkan kepadanya.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, saya mohon pihak blogger tersebut minta maaf secara terbuka kerana mereka telah memalukan saya di media sosial, juga secara terbuka.

“Kalau nak tahu, disebabkan fitnah ini semangat saya jadi down dan malu nak berhadapan dengan orang lain,” ujarnya lagi.

Fitnah di media sosial bukanlah perkara main-main. Selain salah di sisi agama dan undang-undang negara, ia juga sebenarnya budaya negatif yang patut dihapuskan. 

Pasal kerjaya, selain drama Perempuan Tanpa Dosa(Astro), Scha sedang shooting drama bersiri  Hatimu Sedingin Salju (TV3). 

Drama lakonannya yang bakal disiarkan pula adalah Juliet, Datang Senandung, Cinta 24 Jam, Cinta Yang Pulang dan banyak lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas