Selebriti

“Kalau awak ‘burgerlar’ isteri saya lagi special” – Khai Bahar

- Diterbit 17 November 2021 11:34 PM MYT

“AWAK tahu tak beza awak dengan burger? Kalau burger, ia ada burger special. Tapi Kalau awak ‘burgerlar’ (bergelar) isteri saya, lagi special!” Itulah ayat atau pick up line penyanyi popular Khai Bahar kepada seorang gadis bernama Ziera yang juga pelanggan burger jualannya.

Haa… Itulah salah satu babak lakonan Khai Bahar dalam sebuah video pendek sempena kempen Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota @ Wilayah anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dalam video tersebut, Khai melakonkan watak individu yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, namun ‘diselamatkan’ oleh Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota @ Wilayah yang sentiasa memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menjana pendapatan.

Video penuh Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota @ Wilayah ini akan dilancarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan tidak lama lagi.

Kebetulan pula, Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 27, memang pernah berniaga burger sebelum bergelar artis.

“Apabila diberi watak sebagai penjual burger dalam video kempen ini, saya teringat dulu pernah mencari rezeki dengan menjual burger bersama abang saya di Perlis, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi.

“Pengalaman indah ini tak mungkin saya lupakan. Ia mengajar saya untuk sentiasa tak berputus asa dalam mencari rezeki,” katanya kepada Wilayahku.

Dalam masa yang sama, Khai Bahar juga menggalakkan anak-anak muda yang kehilangan pekerjaan tidak mudah patah semangat sebaliknya sentiasa mencari peluang untuk menjana pendapatan.

“Saya tahu, ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Jadi, kepada anak-anak muda khususnya warga wilayah, rebutlah peluang menjana pendapatan dalam Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota @ Wilayah.

“Rebutlah peluang yang datang, kerana mana tahu ini rezeki anda untuk menjadi seorang Usahawan yang berjaya,” luahnya lagi yang memenangi kategori Artis TikTok Popular dan Artis Kolaborasi /Duo / Berkumpulan bersama Aina Abdul menerusi lagu Nafas Cinta di ABPBH34, baru-baru ini. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas