Berita

Kadar tarif air terpaksa dinaikkan untuk semua negeri

- Diterbit 19 Januari 2024 8:20 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

SELEPAS mendapat permohonan dari hampir semua negeri termasuk negeri-negeri pembangkang, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan kenaikan tarif air untuk semua negeri.

SPAN dalam kenyataannya 17 Januari lepas, memaklumkan tarif baharu air naik secara purata 22 sen bagi setiap meter padu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari ini.

Walau bagaimanapun, kata SPAN menerusi kenyataannya, kenaikan tersebut masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022.

Kelantan, Terengganu dan Kedah di samping Pulau Pinang berhadapan dengan masalah pengurusan air yang teruk dan tidak mampu lagi bertahan dengan tarif air yang ada sekarang.

Pulau Pinang berdepan dengan kerosakan paip dalam sungai di samping ugutan dari Kedah untuk tidak lagi membenarkan air dijual ke negeri itu. Ia menyebabkan Pulau Pinang terpaksa mencari sumber baharu termasuk dari Perak.

Kelantan sejak sekian lama berdepan dengan masalah air keruh yang masuk ke dalam pili air pengguna manakala Terengganu juga mempunyai masalah kos pengurusan air yang tinggi.

Pahang, Selangor dan Melaka juga berdepan dengan masalah sumber dan pengurusan air yang memerlukan kenaikan kadar tarif air.

Menurut SPAN, pelarasan tarif air ini akan dilaksanakan mengikut Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Berdasarkan TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Tarif air pula, mengikut TSM, akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan supaya tidak menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air dalam jangka panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati rakyat.

“Namun, kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” kata SPAN.

Bagi meminimumkan kesan kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, SPAN menyarankan supaya operator bekalan air di negeri masing-masing meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas