Berita

Kabinet setuju teruskan tindakan perundangan kes Batu Puteh, Batuan Tengah, Tubir Selatan di ICJ

- Diterbit 13 Oktober 2022 12:30 PM MYT

JEMAAH Menteri bersetuju Malaysia meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai setelah mendengar laporan pembentangan dan cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 7 Okt lepas.

“Mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

“…dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan khas berkenaan turut mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahan kedaulatan negara.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan Laporan Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas kepada umum.

Beliau berkata ia dipersetujui setelah Kabinet mendengar pembentangan laporan daripada Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice in the Wilderness pada 30 Sept lepas.

Pada hari sama, Ismail Sabri mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Thomas berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku itu.

Perdana Menteri juga berkata pelbagai pendekatan dilaksanakan oleh kedua-dua pasukan petugas khas seperti meneliti, menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan dan mesyuarat, lawatan kerja dalam dan luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu dikenal pasti bagi melaksana tugasan sebagaimana terma rujukan yang ditetapkan.

“Syor-Syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan oleh pasukan petugas khas melalui kedua-dua laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbang hasil analisis, penelitian serta pemerhatian ahli pasukan petugas khas.

“Pelaksanaan pasukan petugas khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas