Berita

Jom rasai konsep perkahwinan diraja secara hibrid, raikan tanpa batasan

|SYAKIRAH Subri ( Dua dari kiri) dan Sharifah Rohaidah (dua dari Kanan) bersama barisan artis dan model di Grand Launching The Royal Wedding
- Diterbit 14 November 2021 2:46 AM MYT

SYARIKAT pengurus acara, Dgrand Stage dan Wilqadry telah melancarkan pakej berkonsepkan perkahwinan diraja secara hibrid (gabungan secara bersemuka dan virtual) di acara Grand Launching The Royal Wedding di Wilqadry Grandeur Hall, Putrajaya, baru-baru ini.

Apa yang menarik, Wilqadry bakal memenuhi impian anda yang ingin bersanding dalam tema perkahwinan diraja yang menonjolkan keunikan klasik Melayu yang berunsurkan bunga kayu putih, tulip dan orkid.

Untuk pertama kalinya di Malaysia, majlis perkahwinan ini mempamerkan unsur perkahwinan diraja yang diadakan secara fizikal dan juga maya.

Penggunaan peralatan siaraya canggih masa kini yang di bawakan oleh Dgrand Stage seperti LED Skrin, sistem pencahayaan, kesan pentas dan produksi kamera yang akan di tayangkan secara langsung di platform media sosial mampu memberikan pengalaman perkahwinan yang mewah, moden serta inovatif selari dengan keperluan zaman sekarang.

Menurut pengasas Wilqadry, Sharifah Rohaidah Al Qadry, majlis perkahwinan secara hibrid ini adalah memenuhi keperluan masyarakat sekarang.

“Apa yang kita lihat di luar sana, ramai yang lebih mengutamakan media sosial. Jadi saya yakin virtual wedding ini harus diperluaskan kerana ia mengikut trend terkini.

“Iyalah.. apabila sesiapa sahaja yang anjurkan majlis, ia akan jadi glamor kerana menggunakan platform YouTube, Facebook, Instagram dan sebagainya. Ini secara tak langsung, mereka boleh mendapatkan tontonan yang unlimited (tidak terhad).

“Di sini dapat kita lihat tiada kekangan untuk melibatkan berapa ramai tetamu untuk sama-sama meraikan majlis kahwin. Ini kerana, kami menampilkan perkahwinan secara bersemuka dan virtual atau maya dalam masa yang sama,” katanya yang berpendapat pandemik bukan halangan untuk meraikan sesebuah majlis perkahwinan.

FAEZATUL ( Dua dari kiri) dan Sharifah Rohaidah (dua dari Kanan) bersama barisan artis dan model di Grand Launching The Royal Wedding, Putrajaya, baru-baru ini.

Manakala rakan kongsi perniagaannya, Faezatul  Asyikin Anuar pula menjelaskan majlis perkahwinan secara hibrid ini juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan dalam memerangi COVID-19.

“Dalam masa yang sama, konsep perkahwinan secara hibrid yang merupakan pakej baharu untuk pasangan pengantin ini adalah keperluan sekarang memandangkan kita tidak tahu bila berakhirnya pandemik COVID-19.

“Walaupun kita sudah dibenarkan merentas negeri, namun masih ada halangan dalam majlis kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Jadi, konsep yang kami bawakan ini bertepatan dengan situasi sekarang. Sebahagian menghadiri majlis perkahwinan secara bersemuka dan sebahagian yang lain menonton secara maya menggunakan pelbagai platform,” tambahnya lagi.

AYU Damit dan Mael XPDC antara artis yang membuat persembahan.

Dalam majlis Grand Launching The Royal Wedding itu turut menampilkan persembahan artis popular iaitu Ayu Damit, Mael XPDC dan Kugiran Masdo.

Wilqadry adalah sebuah syarikat kreatif dan pengurusan acara yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan menerapkan pelbagai konsep acara seperti majlis perkahwinan, gaya hidup, hiburan dan korporat.

Manakala Dgrand Stage merupakan syarikat yang membekalkan peralatan berkualiti dan mempunyai pasukan teknikal yang berpengalaman. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas