Atlet Wilayah

Danieal mahu bergelar jurulatih memanah

DANIEAL mahu bergelar jurulatih memanah suatu hari nanti. DANIEAL mahu bergelar jurulatih memanah suatu hari nanti.
- Diterbit 14 November 2021 2:00 AM MYT

ATLET memanah Wilayah Persekutuan, Muhammad Danieal Haqiemi Sohebi, 22, berharap lebih ramai lagi barisan atlet muda pelapis acara compound dilahirkan dalam sukan memanah di negara ini.

Menurut Danieal, kebanyakan atlet yang digilap bakat di peringkat sekolah pada masa ini merupakan atlet acara recurve berbanding compound.

“Mungkin kerana recurve lebih menyerlah tambahan pula ia merupakan acara yang dipertandingkan di pentas Olimpik.

Namun jika pada masa hadapan lebih ramai atlet muda compound, saya rasa tidak mustahil acara ini akan diberi perhatian.

“Tambahan pula, kita juga mempunyai barisan atlet compound  negara yang hebat antaranya Mohd Juwaidi Marzuki yang pernah memenangi dua emas di Sukan SEA 2017 lalu dalam kategori berpasukan dan individu,” katanya.

Tambahnya lagi, dia turut berharap atlet compound juga diberi peluang lebih besar antaranya mengikuti program pelapis di peringkat kebangsaan.

“Biasanya selepas SUKMA, atlet masih terumbang-ambing dan tidak tahu arah tuju ke peringkat seterusnya. Jadi, dengan adanya program khas seperti itu maka masa hadapan mereka lebih terjamin,” ujarnya yang bakal memohon lesen jurulatih memanah tidak lama lagi.

Bercerita lanjut tentang dirinya, anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini baru sahaja menyertai Sukan Parlimen (SUKPAR) yang diadakan secara maya baru-baru ini.

“SUKPAR merupakan antara kejohanan pertama yang saya sertai setelah sekian lama tiada sebarang kejohanan dianjurkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19.

“Pun begitu, walaupun tiada sebarang kejohanan yang diadakan sepanjang tempoh PKP namun saya tetap menjalankan latihan memanah dan mengikuti modul yang dibekalkan jurulatih secara dalam talian,” ujar pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3 ini.

Terbaharu, dia juga sedang bersiap sedia dengan dua kejohanan yang akan berlangsung pada Disember ini iaitu Terbuka Selangor dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM). -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas