Atlet Wilayah

Jia Le bangga kejayaan kakak

ONG Jia Le bersama kakaknya, Ker
- Diterbit 21 Mei 2022 2:00 AM MYT

ATLET terjun Wilayah Persekutuan, Ong Jia Le, 17 mengakui mahu mengikut jejak langkah kakaknya, Ong Ker Ying yang berjaya meraih pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Sukan SEA Hanoi baru-baru ini.

Katanya, dia tidak terkejut apabila kakaknya berjaya meraih emas bersama gandingannya iaitu penerjun senior Wendy Ng Yan Yee memandangkan Ker Ying seorang yang rajin berusaha membaiki terjunannya.

“Dia selalu memberi tunjuk ajar kepada saya selain Wendy yang tidak lokek berkongsi pengalaman berharga. Jujurnya saya bangga mereka berdua berjaya menyumbangkan pingat emas kepada negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, lebih membanggakan kedua-duanya juga merupakan atlet Wilayah Persekutuan yang sekali gus turut mengharumkan nama Kuala Lumpur di persada antarabangsa.

“Fokus utama saya ketika ini adalah untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap penampilan dan berjaya menjadi salah seorang pelapis dan seterusnya pemain kebangsaan.

“Sebelum ini saya ada mengikuti pemilihan sebagai pelapis tetapi nasib tidak menyebelahi saya disebabkan kecederaan yang dialami di bahagian kaki ketika umur 11 tahun kembali menyerang.

“Kalau tersilap langkah sedikit, kecederaan tersebut datang. Kerana itu, saya terpaksa sentiasa berhati-hati ketika berlatih mahupun mengikuti sebarang kejohanan,” ceritanya kepada Wilayahku.

Katanya lagi, pandemik COVID-19 yang melanda negara sehingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini membuatkannya tidak berkesempatan untuk menyertai sebarang kejohanan.

“Sepatutnya pemilihan pelapis diadakan lagi dua tahun lalu tetapi ditangguh kerana PKP. Apapun saya sentiasa menanti dan akan merebut peluang untuk meletakkan diri di tempat yang tinggi.

“Paling penting saat ini adalah usaha yang berlipat kali ganda agar sentiasa bersedia untuk sebarang kejohanan dalam masa terdekat ini,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas