Berita

APMM Labuan tahan dua warga asing miliki dokumen tamat tempoh

DUA warga Indonesia ditahan oleh APMM Labuan susulan memiliki dokumen diri yang telah tamat tempoh. DUA warga Indonesia ditahan oleh APMM Labuan susulan memiliki dokumen diri yang telah tamat tempoh.
- Diterbit 21 Mei 2022 1:00 AM MYT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan oleh warga Indonesia kerana memiliki dokumen pengenalan diri tamat tempoh, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa rondaan rutin Ops Benteng, sepasukannya telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 22 batu nautika dari perairan Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa bot nelayan terbabit dikendalikan oleh empat orang kru warga indonesia yang berumur dalam lingkungan 22 tahun hingga 37 tahun.

“Dua daripada kru terbabit, memiliki dokumen pengenalan diri yang sudah tamat tempoh. Bot nelayan, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Nudin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

“Tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan jenayah oleh itu, komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang yang telah termaktub di dalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas