Berita

Jepun lancar siasatan ke atas Unification Church

- Diterbit 17 Oktober 2022 12:30 PM MYT

JEPUN melancarkan siasatan ke atas kumpulan agama kontroversi, Unification Church yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

Siasatan yang diketuai Menteri Kebudayaan Keiko Nagaoka itu dibuat susulan kematian Abe yang ditembak pada Julai oleh anak kepada seorang ahli Unification Curch “akibat dendam terhadapnya dan percaya Abe penyokong gereja berkenaan.”

Kejadian berkenaan mencetuskan syak wasangka dan persoalan mengenai hubungan antara Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah dan kumpulan kontroversi itu yang telah menjejaskan sokongan terhadap Kabinet pimpinan Perdana Menteri Fumio Kishida, menurut Agensi Anadolu.

“Siasatan itu dibuat ketika kerajaan menerima lebih 1,700 permintaan perundingan menjelang 30 Sept melalui perkhidmatan telefon yang beoperasi pada 5 Sept,” kata Kishida yang dipetik Kyodo News.

Kira-kira separuh Ahli Parlimen LDP dikaitkan dengan kumpulan itu yang dijenamakan semula sebagai Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia. Siasatan itu mungkin menyebabkan kumpulan tersebut hilang status sebagai pertubuhan keagama.

Walaupun kumpulan itu yang diasaskan di Korea Selatan pada 1954 sering dilabelkan sebagai kultus, hilang status berkenaan tetapi ia masih boleh beroperasi di Jepun.

Unification Curch dituduh memaksa pengikut untuk membuat sumbangan kewangan kepada kumpulan itu, terlibat dalam perkahwinan besar-besaran dan “menjual kerohanian.” Pengikut didesak dan diugut supaya membeli balang dan barangan lain pada harga terlalu tinggi, dengan ancaman termasuk menyebut ‘karma nenek moyang’.

Nagaoka yang juga memegang portfolio pendidikan, sukan, sains dan teknologi, berkata kementerian “bersemangat untuk memulakan siasatan secepat mungkin.”

“Panel pakar mengenai isu itu dijangka mula menimbang butiran siasatan seawal 25 Okt,” katanya.

Pada Isnin, panel pakar di Agensi Hal Ehwal Pengguna Jepun meminta kerajaan menggunakan kuasanya untuk menyiasat organisasi itu.

Cadangan itu dibuat selepas agensi itu menerima banyak aduan mengenai Unification Curch yang kononnya menuntut derma besar daripada pengikutnya sehingga menyebabkan mereka kerugian – dakwaan yang juga dibuat oleh pembunuh Abe, Tetsuya Yamagami.

Yamagami, 41, berkata keluarganya hancur dari segi kewangan selepas ibunya membuat sumbangan besar kepada gereja berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas