Berita

Jelmaan BLACKPINK, DOLLA Bakal Tembusi Pasaran Antarabangsa

|DOLLA muncul dengan lagu baharu berjudul Impikan atau versi bahasa Inggerisnya
- Diterbit 30 Oktober 2020 4:30 AM MYT

SELEPAS menjadi perhatian media antarabangsa terutamanya di Korea Selatan, kumpulan Dolla kini muncul dengan lagu baharu berjudul Impikan. 

Dolla yang dikatakan jelmaan kumpulan sensasi K-Pop, BLACKPINK yang terdiri daripada empat wanita iaitu Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya, ini berharap dapat membina nama di peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

Impian ini bakal menjadi kenyataan apabila Dolla yang juga artis naungan Universal Music bekerjasama dengan komposer antarabangsa iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar, Karl Oscar Gummesson untuk lagu Impikan dan versi bahasa Inggerisnya, Watch Me Glow. 

“Sudah pastinya kami sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti All Night nyanyian Girl’s Generation. 

“Dengan peluang ini ianya sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada kami untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa.” kata Sabronzo mewakili Dolla.

Lirik lagu Impikan ini pula ditulis oleh penyanyi rap, komposer dan penerbit terkenal Malaysia iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.

Sesuai dengan usaha pihak Universal Music mahu membawa Dolla ke peringkat antarabangsa, lagu Impikan turut dilancarkan dalam versi bahasa Inggeris yang diberi judul Watch Me Glow.

DOLLA muncul dengan lagu baharu berjudul Impikan atau versi bahasa Inggerisnya, Watch Me Glow

Ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar pula menjelaskan lagu Impikan yang dirakam juga dalam bahasa Inggeris adalah strategi untuk memperkenalkan Dolla di peringkat antarabangsa.

“Sebenarnya kerjasama kami dengan syarikat produksi The Kennel AB dari Sweden ini sudah lama terjalin menerusi beberapa projek untuk artis di bawah Universal Music Group. 

“Bila kami menerima lagu Watch Me Glow dalam senarai lagu yang mereka hantar untuk projek lain, kami merasakan ianya sesuai dengan konsep muzik yang Dolla cuba tampilkan.

“Setelah berbincang dengan pihak Dolla sendiri, kami bersepakat untuk menjadikan single kedua Dolla dan dikeluarkan dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

KETUA Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar.

“Ini merupakan pertama kalinya, Universal Music Malaysia mengeluarkan lagu dalam dua bahasa sebagai strategi kami membawa Dolla menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa. 

“Walaupun Dolla masih hijau dalam industri muzik, namun kami percaya akan potensi dan bakat mereka untuk melangkah lebih jauh,” katanya lagi.

Lagu Impikan dan Watch Me Glow terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula hari ini (30 Oktober 2020).

Muzik video rasmi juga akan dikeluarkan pada hari ini pada jam 9.00 malam. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas