Artikel

Jejak mula di Kuala Lumpur

TEKSI antara pengangkutan utama perantau di ibu kota. Foto DBKL
- Diterbit 3 Disember 2021 6:28 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

TEKSI hitam berbumbung kuning itu berhenti betulbetul depan pintu pagar utama bangunan dua tingkat yang lusuh warnanya.

Suasana masih samar. Tempat saya berdiri selepas keluar teksi itu hanya diterangi dengan lampu dari bangunan.

Angin pagi yang dingin amat terasa. Waktu pun belum pukul 7. Masa naik teksi itu di Puduraya belum pukul 6.15 pagi.

Beberapa detik saya berdiri di depan pintu pagar yang terbuka itu. Hanya besi palang sahaja yang melintang laluan masuk.

Saya mengamati bangunan itu sambil melepaskan nafas perlahan-lahan, bersama-sama gundah dan gementar melaporkan diri. Selebihnya debar berada di tempat yang asing dengan sebatang kara. Tidak pernah sedikit pun menanam impian bekerja di Kuala Lumpur.

Di bangunan yang berada betul-betul di depan saya itu bertulis, ‘Utusan Melayu (M) Bhd’.

Perlahan-lahan saya menjinjing beg pakaian ke tepi dengan kepala yang berpinar-pinar kerana mengantuk bercampur gemuruh.

Tubuh rasa sengal kerana bas ekspres malam itu bergoncang di sepanjang jalan.

Bangunan lama ini membawa nama yang menjadi kebanggaan saya sejak kanak-kanak kerana ayah sering membeli akhbar jawi Utusan Melayu.

Akhbar itulah yang membawa saya kenal perjuangan orang Melayu menentang penjajah. Ayah sangat berbangga dengan perjalanan awal di Utusan Melayu.

Saya tercangak-cangak di depan pintu pagar bangunan Utusan Melayu. Suasana di dalam kawasan berpagar bangunan itu riuh-rendah dengan orang hilir mudik memikul bungkusan surat khabar.

Kemudian bungkusan itu diletakkan atas motosikal masingmasing. Riuhnya macam market Kangar waktu pagi.

Di tepi sebelah kanan pintu pagar yang ternganga itu ada pondok pengawal. Ada dua pengawal memakai seragam polis.

Saya tidak pasti mereka itu polis atau pengawal. Saya menuju ke kaunter yang cerminnya berlubang sebesar tempurung kelapa.

Salah seorangnya berwajah bengis, misai melintang dan kepala sedikit botak.

“Cari siapa?” pengawal yang bengis itu menyapa. Saya terkejut dan terpinga-pinga. Terkulat-kulat seketika. Yang seorang lagi sedang membaca akhbar Utusan Malaysia. Langsung tidak angkat kepala.

Agaknya ada berita menarik yang dibaca.

“Nak jumpa Encik Zainuddin. Nak lapor diri.”

“Zainuddin banyak di sini. Yang mana satu?”

“Encik Zainuddin Maidin. Ketua Pengarang.”

“Oh Zam. Buat apa lapor diri dekat dia. Kena lapor diri kepada Mansor Pateh Din. Bahagian perjawatan.”

“Bos saya di Alor Setar suruh lapor diri kepada Encik Zainuddin. Agak-agak dia mai pukul berapa?”

“Tapi sekarang ni awal sangat. Pejabat buka pukul 10 pagi. Masa ni Zam duk merekot tarik selimut lagi. Kena tunggulah sampai pukul 10. Tapi tak jamin Zam datang atau tidak?”

“Encik Zainuddin tak mai?” tanya saya separuh cemas.

“Dia bos besar. Boleh datang ikut suka dia.”

Di sebelah jalan yang tidak berapa jauh dengan bangunan Utusan Melayu ada warung, tetapi tutup. Jauh sedikit dari situ ada warung Cina. Penuh meriah dengan pelanggan.

Kalau ada warung Melayu boleh juga lepak sambil mengambil sarapan.

Ketika bertenggek di atas batu di tepi pondok itu, saya membayangkan seperti tidak boleh bekerja lama di Kuala Lumpur.

Selepas keluar dari perut bas ekspres, keluar dari Puduraya, suasana amat melemaskan.

Kereta, motor dan bas mini yang macam lipas kudung sangat tidak menenangkan.

Terbayang kesukaran untuk keluar membuat liputan di tempat baharu yang asing dan sesak itu.

Terbayang semula wajah keributan Kuala Lumpur seperti yang pernah diselitkan dalam adegan drama dan filem.

Sekilas pandangan ketika keluar dari Puduraya pun sudah cukup menunjukkan Kuala Lumpur yang rakus.

Tetapi untuk malam itu hendak tidur di mana? Saya berkira-kira untuk tidur sahaja di Puduraya. Esoknya mandi dan bawa beg pakaian ke pejabat.

Mungkin seminggu atau lebih hingga mendapat bilik sewa. Sudah tentu amat melelahkan apabila ke hulu ke hilir dengan beg besar.

Mentari sudah garang. Silaunya menyengatkan kulit. Kira-kira pukul 10 pagi, sebuah kereta Mercedes biru tua masuk ke perkarangan bangunan Utusan Melayu. Pengawal mengangkat tabik. Saya mengintai siapa dalam kereta besar itu.

Nampak Zam bersandar di tempat duduk belakang mengangkat tangan ke arah pengawal.

Kemudian kereta itu berhenti tepat di depan pintu pejabat di sebelah kanan. Zam keluar dengan pantas sambil menjinjing briefcase hitam. Lengkap dengan kot coklat dan bertali leher.

Saya meluru mengejar Zam dan sempat berjumpa di atas tangga. Saya memberi salam sambil menghulur tangan. Zam berpaling dengan terkejut, walaupun beliau kemudiannya menjawab salam dan menyambut tangan saya.

Dalam tercungap-cungap saya ambil peluang memperkenalkan diri.

“Saya Ku Seman dari Perlis. Mai nak lapor diri.” Zam sedikit tersengeh, tetapi saya rasa seperti ada yang tidak kena.

Mungkin saya tidak beradab di depan orang besar apabila melapor diri di atas tangga. Kenapa tidak biarkan Zam masuk dulu, saya bertanya sendirian.

“Mai naik pi bilik saya,” kata Zam sambil melangkah dan saya mengekorinya.

Pagi itu Jabatan Pengarang Utusan Melayu sunyi. Hanya nampak tiga atau empat tukang sapu yang sibuk menyapu dan mengutip kertas yang bersepah di atas lantai.

Saya terus mengikut Zam ke biliknya di sebelah kiri ruang pejabat yang usang itu. Kami berbual seketika tentang keadaan di Kedah. Saya pun sedikit tenang dengan keramahan Zam.

Tetapi tetap gerun kerana berada di depan Ketua Pengarang yang terkenal dengan garangnya.

“Saya harap pilihan ambil you bekerja di Utusan Melayu tepat. You kena bina diri. Wartawan mesti ke depan dan lebih tahu daripada orang lain. You kena banyak membaca. Baca buku. Tak tau bahasa Inggeris, belajar.” kata Zam tegas.

Tiba-tiba saya rasa sangat bersemangat menjadi wartawan. Saya berjanji pada diri sendiri membuktikan pilihannya memgambil saya bekerja tepat.

Saya mesti membuktikan segala kepercayaan itu bukan sia-sia. Walaupun tidak pernah jejak kaki ke universiti, saya akan buktikan semuanya.

Selepas keluar dari bilik Zam, saya dengan rasmi sudah menjadi wartawan. Tetapi jalan masih jauh, langkah baru bermula.

Ayah selalu berpesan, betulkan langkah pertama supaya tidak tempang pada yang seterusnya. Saya selalu ingat pesanan itu.

Saya menyahut cabaran Zam untuk hidup sebagai wartawan di Kuala Lumpur. Segala persoalan di mana hendak tidur malam itu sudah tidak terbeban di fikiran.

Saya menghabiskan hari pertama sebagai wartawan di ruang yang pernah diduduki oleh tokoh besar – Pak Sako, Usman Awang, Said Zahari, Melan Abdullah dan banyak lagi.

Saya baru menyelak halaman pertama buku yang mereka sudah selesai membacanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas