Berita

JAWI tanggung kos pengurusan jenazah COVID-19 – Mohd Ajib

BAGI golongan asnaf, B40 dan yang kurang berkemampuan, JAWI akan menanggung keseluruhan kos pengurusan jenazah COVID-19.
- Diterbit 9 Ogos 2021 5:50 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menanggung sepenuhnya kos pengurusan jenazah COVID-19 meliputi tayamum, mengkapan, menyolatkan dan kenderaan jenazah, kata Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Katanya, pihak waris atau keluarga hanya perlu menanggung kos pengkebumian yang tidak melebihi RM300 sahaja.

“Kos pengebumian ini adalah untuk pembayaran kepada sukarelawan yang menggali tanah perkuburan serta sewa jentera pengorek yang digunakan.

“Sekiranya waris tidak berkemampuan untuk membayar khususnya golongan asnaf, B40 atau sebagainya, pihak JAWI akan menanggung sepenuhnya bayaran tersebut,” katanya kepada Wilayahku pada Isnin.

Mohd Ajib berkata, kemudahan tersebut diberikan JAWI adalah sebagai tanggungjawab terhadap warga Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan wabak tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Ajib memberikan jaminan bahawa kos pengurusan jenazah COVID-19 akan dilaksanakan secara percuma di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Baru-baru ini, timbul dakwaan beberapa pihak yang mengenakan bayaran yang tinggi untuk pengurusan jenazah COVID-19 dan mencecah sehingga RM1,800. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas