AHLI Majlis Pimpinan PKR Selangor, Mohd Najwan Halimi menasihatkan pimpinan UMNO tidak sombong selepas menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau berkata terdapat kenyataan beberapa pimpinan UMNO yang bersifat tidak menambah nilai dalam kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan utama yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Jangan sombong sangat. Rakyat tak suka orang politik yang sombong,” katanya di laman X.
Dalam pada itu, Najwan berkata terdapat juga kenyataan yang bernada angkuh, sinis, menyinggung bahkan menghina serta meremehkan peranan dan komitmen parti-parti gabungan yang lain.
Beliau berkata realitinya, tiada satu pun parti politik yang dominan dan layak mendabik dada sebagai parti utama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Juga tiada satu gabungan pun yang berupaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Bahkan BN sendiri tak berupaya membentuk kerajaan secara bersendirian di negeri Perak dan Pahang,” katanya.
Najwan berpandangan sewajarnya menjadi keutamaan sebagai pimpinan parti baik dari PH mahupun dari BN adalah mencari titik temu dalam memantapkan lagi kerjasama dan hubungan di antara keduanya.
Beliau berkata kepimpinan UMNO di Johor boleh belajar dari kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor dan Datuk Seri Saarani Mohamad di Perak.
“Di Selangor, UMNO hanya menang dua kerusi dewan negeri namun atas semangat perpaduan, Ahli Dewan Negeri dari UMNO turut dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.
“Begitu juga di Perak, meskipun PH menang 24 kerusi dewan undangan negeri, namun atas semangat perpaduan, jawatan Menteri Besar diserahkan mandat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dari BN yang hanya sekadar menang sembilan kerusi.
“Sebagai menghargai persefahaman tersebut, Menteri Besar Perak melantik tujuh ADUN PH sebagai ahli MMKN Perak,” katanya.
Menurut Najwan, meminta belajarlah berpolitik dengan matang dan budiman.
“Kita kuat bukan kerana dengan hanya pandai bercakap dan sekadar jadi pahlawan.
“Kita kuat jika kita bersatu dan menyelesaikan perbezaan kita secara rundingan dan menghormati di antara satu sama lain.
“Alhamdulillah, UMNO berjaya menang dua pilihan raya kecil; merampas Nenggiri dan mengekalkan Mahkota. Rakyat menilai,” katanya. – WILAYAHKU