KETIBAAN bulan Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana kelebihan yang ada dalam bulan yang penuh kemuliaan ini. Kedatangannya juga mendidik diri kita agar sabar dan menahan nafsu.
Namun ramai yang tertewas ketika mengunjungi bazar Ramadan. Mereka tidak dapat menahan nafsu daripada membeli juadah sehinggakan bulan yang mengajak kita untuk bersederhana turut menjadi bulan paling tinggi pembaziran.
Ia seolah-olah menjadi budaya dalam masyarakat hari ini sedangkan di saat kita menjadikan bazar Ramadan sebagai pesta pembaziran, tahukah anda di luar sana berjuta-juta umat Islam yang terpaksa terus berpuasa biarpun telah tiba waktu untuk berbuka.
Menurut Ketua Unit Pengurusan Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid, umat Islam perlu mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
“Apabila melakukan pembaziran ia dikira sebagai kufur nikmat kerana gagal mengurus nikmat yang sepatutnya dijadikan jalan syukur tetapi kerana membazir ia menuju jalan kufur yakni keingkaran.
“Maksud pembaziran dari segi syarak ialah sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran),” ujarnya pembaziran adalah perkara sia-sia dan perlu ditinggalkan jauh amalan tersebut.
Tambahnya Ibnu Masud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat, yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah dan tidak berlandaskan tuntutan sunah Rasulullah.
“Manakala lbnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah.
“Jika memahami makna dan hikmah berpuasa maka ia sebenarnya pengajaran tentang kesusahan orang lain yang berhadapan dengan kesukaran hidup,” jelasnya maka jika tiada pengajaran itu masuk ke dalam sanubari apakah lagi yang diharapkan dalam memahami erti Ramadan atau erti puasa itu sendiri.
Berkongsi kesan amalan mazmumah (perbuatan tercela menurut pandangan akal) itu terhadap individu daripada konteks Islam, Zulkhairi berkata akan berlakunya ketirisan dalam perbelanjaan rumah tangga dan ia antara perbuatan yang berdosa dan perlu ditinggalkan.
“Hal ini kerana perbuatan ini jelas bercanggah dengan prinsip Islam, iaitu berlaku adil pada harta yang dimiliki dengan meletakkan ia pada tempat yang sepatutnya. Memandang jauh isu Palestin dan saudara-saudara lain yang dilanda ujian. Maka adilkah kita untuk membazir?” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkhairi berkata selain pembaziran makanan adakalanya umat Islam juga turut melakukan pembaziran masa.
“Ramadan adalah bulan rahmat, keampunan dan akhirnya dilepas dari azab neraka. Kelekaan dengan banyak tidur, banyak berfikir tentang persiapan raya malah tidak mengambil peluang solat Tarawih, zikir dan membaca Al-Quran serta pelbagai ibadah lain amat merugikan.
“Ini kerana segala perbuatan yang digandakan ganjarannya di bulan Ramadan adalah kecelakaan nyata kepada mereka yang cuai dalam menghidupkan Ramadan‚” ujarnya itulah pembaziran yang patut dijauhi.
Justeru itu, beliau menasihatkan kepada mereka yang ingin mendapatkan puasa sempurna mestilah melakukan persiapan ilmu bagi memberi kesan yang mendalam hingga ia bakal merubah manusia kepada fitrah sebenar.
“Banyakkan ibadah serta sedekah dengan memberi orang makan kerana orang banyak sedekah adalah orang yang dirindui syurga. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari Ramadan yang lalu.
“Carilah malam yang lebih baik dari seribu malam iaitu Malam Lailatul Qadar. Moga kita menjadi hamba yang diredai Allah‚” beliau turut berpesan kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa untuk pulang sambil berkongsi nikmat berbuka bersama. – WILAYAHKU