Berita

Jangan jadikan persatuan belia untuk kejar jawatan parti – Jalaluddin

JALALUDDIN (dua dari kiri) memukul gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agong Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan di ibu negara malam tadi.
- Diterbit 25 November 2021 4:46 AM MYT

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengingatkan kepada kepimpinan belia khususnya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan untuk tidak menjadikan pertubuhan itu sebagai platform untuk mendapatkan tempat di dalam politik.

Beliau berkata, tindakan tersebut akan mengundang perbalahan dan mewujudkan puak sehingga membelakangkan prinsip penubuhan pertubuhan itu.

“Saya tidak bermaksud mereka tidak langsung boleh terlibat di dalam politik, tetapi di dalam pengurusan persatuan itu mestilah mengenepikan segala bentuk ideologi dan fahaman politik kerana ia akan memulakan satu perbalahan atau puak yang tidak perlu ada di dalam kepimpinan persatuan belia termasuk GPMS,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan GPMS Wilayah Persekutuan di ibu negara malam tadi.

Jelasnya, apabila perbalahan dan amalan berpuak itu timbul, ia secara tidak langsung akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri serta matlamat terhadap penubuhan persatuan belia dan GPMS yang berlandaskan kepada Destini Anak Melayu itu tidak akan tercapai.

“Mereka mestilah berfikiran terbuka dan mempunyai wawasan hanya khusus untuk memastikan agenda perjuangan GPMS itu jelas untuk melihat kecemerlangan anak-anak Melayu di dalam pendidikan sampai ke tahap maksima,” katanya.

Beliau turut menggesa kepada kepimpinan GPMSWP untuk mencari jalan membantu pelajar-pelajar melayu di semua 63 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang menghadapi masalah untuk meneruskan pembelajaran.

“Mereka ini semuanya dari keluarga berpendapatan rendah dan B40. Ada dalam kalangan mereka yang tidak ada perancangan untuk menyambung pengajian, jadi ini adalah tugas pemimpin GPMS untuk memastikan anak-anak Melayu ini mempunyai pendidikan yang tinggi agar dapat mengubah nasib keluarga mereka,” katanya.

Terdahulu, Jalaluddin turut melancarkan Skuad Sukarelawan Pendidikan GPMSWP yang akan bergerak ke seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk membantu pelajar-pelajar dari keluarga B40 da M40. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas