Utama

Tanah runtuh: Tindakan pantas Jalaluddin beri kelegaan

TANAH runtuh di Taman Kuchai Entrepreneurs Park, Seputeh membimbangkan penduduk.
- Diterbit 25 November 2021 6:31 AM MYT

PENYELENGGARAAN yang dilakukan di kawasan tanah runtuh sekitar parkir lot Blok 4, Taman Kuchai Entrepreneurs Park, Seputeh, Kuala Lumpur awal pagi tadi, memberi kelegaan kepada penduduk setempat.

Ini kerana, kata Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Kuchai Entrepreneurs Park (RUPKEP), Wahid Amat, keadaan tanah runtuh yang mengakibatkan lubang sedalam 4.5 meter, akan membahayakan nyawa penduduk setempat jika tidak diselenggara.

Bercerita mengenainya, ujar beliau, kira-kira sebulan yang lalu, penduduk hanya melihat kesan retakan pada longkang berhampiran kawasan parkir.

“Keadaan semakin membimbangkan apabila kesan retakan itu semakin besar dan kini terdapat runtuhan tanah selepas hujan lebat, beberapa hari lalu.

“Semalam, berlaku lubang seluas 17 meter persegi dengan kedalaman kira-kira lima meter,” katanya yang bimbang keselamatan penduduk jika kawasan bencana itu tidak diselenggara segera oleh pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, lubang yang berlaku itu terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk di blok 4 yang mana, terdapat kemungkinan bangunan yang didiami itu runtuh sekali gus mengakibatkan kemalangan jiwa.

Dalam pada itu, Wahid bersama penduduk setempat menzahirkan rasa syukur apabila masalah yang dihadapi itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang tampil melawat kawasan sejurus selepas menyelesaikan urusan di pejabatnya semalam.

Tambahnya, tindakan pantas Timbalan Menteri itu berjaya membendung kejadian tidak diingini daripada berlaku selain mempercepatkan urusan penyelenggaraan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas