Berita

Jangan cuba-cuba rentas Putrajaya untuk aktiviti sosial & riadah

- Diterbit 8 Mei 2021 1:58 AM MYT

ORANG ramai dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diingatkan tidak sesekali ingkar dengan cuba merentas untuk aktiviti sosial dan riadah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar terutama yang menyalahgunakan permit kebenaran rentas daerah untuk urusan rasmi.

“Pemeriksaan dan pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa di premis perniagaan dan kedai makanan untuk memastikan tempat keramaian tiada orang luar,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di sekitar Ayer 8, di sini malam tadi.

Mohd Fadzil berkata polis Putrajaya terpaksa tegas dan meningkatkan pemantauan dalam melindungi pusat pentadbiran itu daripada risiko jangkitan COVID-19.

“Ini kerana Putrajaya dikelilingi beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan PKP. Tindakan tegas ini penting memastikan penularan tidak berlaku di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata polis Putrajaya hanya menjalankan tanggungjawab dalam mengawal tiada pergerakan bebas kecuali bagi mereka yang mempunyai urusan rasmi, kecemasan dan bekerja.

Selain itu, Mohd Fadzil juga mengingatkan warga Putrajaya mengamalkan kawalan kendiri dan tidak leka dalam pematuhan SOP ketika situasi COVID-19 yang getir melanda negara.

Semalam Malaysia merekodkan 4,498 kes COVID-19 baharu dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi melibatkan 1,424 kes diikuti Sarawak (750) dan Kuala Lumpur (436).

Mohd Fadzil berkata cabaran Ibu Pejabat Daerah Putrajaya adalah memastikan kawasan Putrajaya terus kekal zon hijau.

Beliau berkata polis memahami perasaan warga Putrajaya yang semakin jemu kerana pergerakan ekonomi dan sosial yang terhad sejak setahun pandemik COVID-19 melanda.

Namun katanya situasi itu bukan kehendak polis yang sering disalahkan masyarakat tidak kira apa tindakan diambil, bagi memastikan orang ramai terus patuh untuk menangani musuh terkini dan ghaib ini. – BERNAMA 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas