Berita

MYSA ramal sisa roket jatuh atas manusia, bangunan rendah

- Diterbit 8 Mei 2021 7:56 AM MYT

ORANG ramai tidak perlu terlalu bimbang terhadap bahaya objek ‘re-entry’ sisa roket Long March 5B milik China yang jatuh kebumi kerana kebarangkalian objek ini untuk menimpa manusia atau merosakkan mana-mana struktur bangunan adalah sangat rendah.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, ini disebabkan 70 peratus daripada muka bumi adalah terdiri daripada air dan keluasan kawasan Malaysia adalah kecil berbanding dengan keluasan muka bumi.

“Lokasi sebenar re-entry ini masih tidak dapat diramal dengan tepat pada masa kini dan pihak MYSA akan memaklumkan perkembangan peristiwa re-entry ini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azlikamil, ramalan terkini bahawa ‘re-entry’ roket Long March 5B milik negara China akan jatuh ke bumi adalah di antara 7 Mei 2021, 9:34 pagi sehingga 9 Mei 2021, 3:34 petang waktu Malaysia.

Sisa roket masih mengorbit dan semakin menurun menghampiri re-entry zone.

“Status terkini bagi roket tersebut pada yang diramalkan pada 8 Mei adalah berada pada ketinggian 198.3 kilometer dari paras laut dan lokasi re-entry ialah antara latitud 41.5° Utara dan latitud 41.5° Selatan,” katanya.

Roket Long March 5B yang dilancarkan pada 29 April 2021 bertujuan untuk menghantar modul teras (core module) stesen angkasa China yang dinamakan Tianhe dan seberat 22,600kg ke orbit pengoperasiannya di angkasa.

Menurut Azlikamil, pada peringkat teras
(core stage), roket Long March 5B telah mencapai ketinggian yang cukup tinggi untuk mengorbit bumi selepas penghantaran modul Tianhe.

“Orbit sisa roket ini merupakan orbit jenis elips dengan ketinggian paling dekat 170 kilometer (km) dan ketinggian paling jauh 372km daripada paras laut muka bumi.

“Disebabkan seretan atmosfera (atmospheric drag) yang kuat pada orbit ini, sisa roket ini dijangka akan re-entry ke muka bumi dalam beberapa hari selepas penghantaran tersebut,” katanya.

Jelas Azlikamil, lokasi re-entry sebenar sisa roket ini tidak dapat diramal dengan tepat (pinpoint) sehingga beberapa jam sebelum re-entry berlaku.

“Berdasarkan kepada prinsip saintifik, kebiasaannya akan terdapat unsur–unsur ketidakpastian yang berkaitan bagi sebarang pengukuran atau ramalan yang dihasilkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azlikamil berkata, dalam kebanyakan kes re-entry ke ruang atmosfera, ketidakpastian yang berkaitan bagi ramalan lokasi re-entry adalah
sangat besar disebabkan perubahan kadar ketumpatan lapisan atas atmosfera, sifat
fizikal objek re-entry seperti jisim dan komposisi bahan, serta lokasi dan kelajuan objek tersebut

“Setiap pelancaran roket kebiasaannya akan meninggalkan serpihan (debris). Saiz serpihan tersebut bergantung kepada saiz roket yang dilancarkan.

“Memandangkan saiz roket Long March 5B agak besar, maka serpihan yang berkemungkinan akan terhempas
ke bumi juga adalah besar.

“Walau bagaimanapun, sebahagian besar serpihan tersebut akan musnah terbakar di atmosfera dan berkecai menjadi serpihan-serpihan kecil dan hanya
serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya sahaja yang akan jatuh ke bumi,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Azlikamil menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya melihat dan tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek yang mencurigakan yang disyaki daripada kejadian re-entry ini.

“Orang ramai juga diingatkan agar menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesyaki atau melihat kejadian re-entry tersebut di talian kecemasan ‘999’ dan membuat laporan yang lengkap termasuklah saksi, lokasi dan masa,” katanya sambil menambah sekiranya rakaman video dapat dibuat pada ketika kejadian bagi membantu penyiasatan kelak.

Tegasnya lagi, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang hebahan dan maklumat palsu berkaitan insiden tersebut.

“Sebarang maklumat rasmi yang telah disahkan hanya akan dihebahkan melalui media massa oleh pihak berkuasa sahaja,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas