Berita

JAKIM salur RM21 juta bantu tahfiz, sekolah agama rakyat

PELAJAR tahfiz dan sekolah agama rakyat turut terkesan daripada PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 2 April 2020 9:44 AM MYT

PUTRAJAYA  – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyalurkan bantuan sejumlah RM21 juta kepada pusat tahfiz swasta, sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah agama swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib di seluruh negara. 

Bantuan tersebut adalah dalam bentuk sara hidup kepada guru-guru dengan kadar RM800 setiap seorang yang akan memberi manfaat kepada 22,920 guru.

Bantuan turut diagihkan untuk pengurusan operasi membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan lain-lain perbelanjaan operasi kepada 2,119 buah institusi pendidikan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini memberi kesan sedikit sebanyak kepada para guru di institusi pendidikan Islam yang terjejas terutamanya dari sudut pengurusan operasi dan sara diri.

“Prihatin dengan hal tersebut , saya mengumumkan bantuan one-off  ini adalah daripada peruntukan RM100 juta yang telah disediakan kepada JAKIM di bawah Bajet 2020 bertujuan membiayai penyelenggaraan dan naik taraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama berdaftar.

“Besarlah harapan saya agar bantuan ini dapat meringankan beban warga institusi pendidikan Islam yang terjejas akibat PKP. Penghargaan ditujukan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, atas kelulusan bagi peruntukan berkenaan untuk tujuan tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas