Berita

Pesakit positif Covid-19 cecah 3,116, catat kes kematian ke-50

ORANG ramai memakai topeng muka sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan jangkitan Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 2 April 2020 10:32 AM MYT

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 sudah melebihi 3,000 selepas 208 pesakit baharu dikesan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan peningkatan kes itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan pesakit adalah 3,116.

“Bagaimanapun, jumlah pesakit sembuh juga semakin meningkat dengan tambahan 122 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital sebanyak 767.

“Sebanyak 105 pesakit kini ditempatkan di unit rawatan rapi dan 54 darinya memerlukan bantuan pernafasan manakala lima kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah 50 kematian direkodkan di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, empat daripada lima kes baharu itu membabitkan warga emas yang mempunyai sejarah sakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung.

“Kesemua mangsa juga adalah lelaki tempatan. Kes-46 dan 47, masing-masing berusia 37 dan 78 tahun. Kedua-duanya disahkan meninggal pada 29 dan 31 Mac lalu.

“Kes-48 juga membabitkan warga emas 85 tahun yang disahkan meninggal dunia pada pukul 8.01 pagi tadi manakala kes-49, berumur 61 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif lain.

“Kematian terakhir disahkan pukul 2.20 petang tadi dan mangsa berusia 69 tahun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas