Berita

JAKIM nafi terima sebarang dokumen Mawla Amin

- Diterbit 27 Februari 2024 8:37 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan menerima sebarang dokumen daripada pihak Pertubuhan Nur Al Mustafa Malaysia.

Terdahulu, Nur Al Mustafa memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan bukti dokumen Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin al-Idrisi yang didakwa mempunyai susur galur keturunan Nabi Muhammad kepada pihak pihak JAKIM.

JAKIM dalam satu kenyataan menafikan menerima sebarang dokumen seperti yang didakwa pertubuhan tersebut.

“Susulan kenyataan yang dibuat oleh pihak Pertubuhan Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab ‘Mawla Amin’ yang memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak JAKIM.

“Ingin dimaklumkan bahawa pihak JAKIM tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang telah dinyatakan,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan, pihak Pertubuhan Nur Al Mustafa Malaysia mengakui telah menghantar dokumen dan bukti kepada pihak berkuasa termasuklah Jakim berkaitan nasab Maula Amin.

Lelaki itu dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Maula Mohamed Amin mendakwa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar juga memberi amaran kepada masyarakat supaya tidak terlalu taksub kepada mana-mana individu, sebaliknya berpegang kepada ilmu dan fakta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas