Berita

JAIS wujudkan pusat pengumpulan Al-Quran, buku agama terjejas banjir

PENGARAH JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihak JAIS telah menetapkan langkah yang perlu diambil mengenainya selaras dengan tanggungjawab jabatan ini untuk menjaga kesucian ayat al-Quran. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 28 Disember 2021 8:34 AM MYT

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mewujudkan pusat pengumpulan naskhah al-Quran dan buku agama yang musnah akibat banjir di enam lokasi di negeri itu bermula semalam hingga Khamis ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata enam lokasi tersebut ialah Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai (Hulu Langat), Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Klang), Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling), Masjid As-Solihin Kancong Darat (Kuala Langat), Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor) dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).

“Banjir melanda negara khususnya di Selangor mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan harta benda termasuk naskhah al-Quran serta buku agama di masjid, surau, sekolah dan rumah persendirian.

“JAIS telah menetapkan langkah yang perlu diambil mengenainya selaras dengan tanggungjawab jabatan ini untuk menjaga kesucian ayat al-Quran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata semua pihak khususnya umat Islam di lokasi terjejas diminta menghantar naskhah al-Quran dan buku-buku agama yang telah rosak ke masjid-masjid kariah berdekatan.

“Pihak masjid hendaklah memastikan kesemua naskhah yang dihantar ditempatkan di ruang yang sesuai, selamat dan bersih serta jauh daripada laluan manusia atau haiwan bagi mengelakkan dilangkah dan dipijak serta diletakkan di kedudukan yang tinggi dari paras biasa persekitaran.

“Di tempat penyimpanan yang tidak berbumbung pula, pihak masjid hendaklah menutup naskhah tersebut menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkan basah terkena air hujan,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Mohd Shahzihan berkata JAIS menjangkakan bencana alam itu turut menyebabkan kemusnahan, kerosakan atau kehilangan dokumen rasmi penting berkaitan perkahwinan, penceraian dan rujuk yang dikeluarkan oleh pihaknya.

“Sehubungan itu, mangsa banjir yang kehilangan dokumen Kebenaran Berkahwin yang dikeluarkan di bawah seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003, Surat Perakuan Nikah di bawah subseksyen 26(1), Surat Perakuan Cerai di bawah subseksyen 55(5) atau Surat Perakuan Rujuk di bawah subseksyen 52(3) enakmen yang sama, boleh membuat permohonan mendapatkan semula salinan dokumen tersebut tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya.

Katanya individu terlibat boleh berurusan dengan Pejabat Agama Islam Daerah yang mengeluarkan dokumen tersebut bermula hari ini hingga 31 Jan depan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas