Berita

Jadi penyanyi… “Saya tak rasa ada vokal meletop macam penyanyi lain” – Che Ta

Printed Square Scarves sempena Aidilfitri.
- Diterbit 3 Mei 2021 2:13 AM MYT

IMPIAN aktres popular Rozita Che Wan untuk menjadi penyanyi satu ketika dahulu akhirnya menjadi kenyataan apabila muncul dengan sebuah lagu ‘jingle’ untuk sebuah produk kecantikan diwakilinya iaitu Mylea.

Bagi pelakon yang lebih mesra dipanggil Che Ta ini, niatnya bukanlah untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada, malah jauh sekali untuk sertai pertandingan berprestij.

“Tapi janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada. Ia bukan pun lagu komersial.

“Lagu ciptaan DJ Fuzz itu hanya untuk promosi produk berkenaan dan berdurasi 30 saat. Ia berentak santai dan kedengaran seperti dangdut. Malah sudah dimainkan di corong radio.

“Saya pun tak rasa ada vokal yang meletop macam penyanyi lain. Tapi disebabkan pengasas produk itu mahu saya menyanyi. Saya cabar diri,” katanya yang merakamkan lagu pada 14 April lalu.

CHE Ta baru sahaja melancarkan koleksi tudung, Printed Square Scarves sempena Aidilfitri.

Che Ta juga tidak terfikir untuk serius jadi penyanyi atau bertanding dalam acara besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Saya tak anggap ia satu projek serius. Jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun.

“Bahkan saya cakap mesti yang puji saya boleh menyanyi itu sekadar nak ambil hati. Dalam erti kata lain, bohong ‘sunat’,” selorohnya.

Che ta juga mengaku tidak kisah andai dirinya dikecam apabila menjayakan projek nyanyian itu.

“Saya sudah biasa dengan segala yang negatif. Tapi itu tak pernah jadi kudis,” katanya yang baru baru ini dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas