Berita

Jadi penoreh getah, Ruhainies tidak mahu nampak cantik saja

- Diterbit 20 Mei 2021 3:50 AM MYT

RAMAI yang mengagumi lakonan hebat pelakon Ruhainies, malah ada yang tidak menyangka dia mampu membawa watak gadis kampung yang bekerja sebagai penoreh getah.

Itulah watak Ellani yang dibawakan oleh Ruhainies dalam drama bersiri Cukup Derita Itu (CDI) siaran TV3 untuk slot Samarinda.

“Pertama saya jayakan watak penoreh getah. Nyatanya, untuk melakukan babak tersebut bagi saya ia agak sukar dan mencabar. Yelah, pertama kali kerja di ladang getah dengan memerlukan persediaan bagi realiti sebenar.

“Malah demi menghidupkan watak, pengarah Along Kamaluddin ambil inisiatif dengan upah pekerja sebenar untuk ajar cara toreh getah dengan betul.

“Nak pegang pisau khas tu tak sama dengan pisau biasa kan. Pokok getah sensitif, tak boleh main toreh kena berhati-hati.

“Mungkin ramai tak tahu, masa buat babak di ladang tersebut, saya ikat ubat nyamuk dekat badan seharian sepanjang penggambaran. Seksa jugalah sebab saya memang alah pada asap,” katanya yang berjaya membuka mata ramai terhadap prestasi lakonannya.

“Bukanlah nak kata saya sudah tahu semua, cuma menerusi drama ini, secara tak langsung dapat selami kehidupan golongan lain juga selain belajar perkara baru.

“Saya sedar, sebelum ini ada cakap-cakap yang kata saya mesti tak berani untuk jayakan watak sebagai gadis yang kerja dan hidup di desa. Selesa dengan watak orang bandar saja. Jadi inilah masanya untuk saya buktikan kemampuan.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima penonton pun sangat positif. Bila mereka gembira, buatkan saya lebih semangat untuk berikan yang terbaik. Tuah saya juga dapat bersama dalam naskhah drama yang bagus macam ni,” katanya lagi.

CDI turut dilakonkan oleh Jasmin Hamid, Chacha Maembong, Lia Natalia, Hisyam Hamid dan ramai lagi.

Ditanya mengenai insiden lengannya yang digigit monyet ketika penggambaran, Ruhainies menjelaskan ia berlaku secara spontan.

“Pada awalnya monyet jinak tu okay saja, tiba-tiba mungkin kerana terkejut, monyet berkenaan menjadi agresif lalu gigit lengan saya yang berlapik kemeja.

“Setakat ini tiada apa-apa yang serius. Saya sudah dapatkan rawatan dan ahlamdulillah, semuanya okay,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas