Berita

Jabatan Perumahan Negara sasar projek sakit dikurangkan kepada tiga peratus pada 2030

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 November 2023 5:00 AM MYT

JABATAN Perumahan Negara berhasrat mengurangkan jumlah projek perumahan kategori sakit dan terbengkalai kepada tiga peratus menjelang 2030, menurut Ketua Pengarahnya Datuk K.N Jayaselan.

Beliau berkata untuk itu pihaknya melakukan pelbagai usaha dalam menyelesaikan masalah projek rumah kategori sakit dan terbengkalai.

“Sehingga kini terdapat 117 projek perumahan dikategorikan sebagai terbengkalai dan 497 projek sakit.

“Kita ingin pastikan projek perumahan yang masuk kategori berkenaan dapat dikurangkan kepada tiga peratus pada 2030 daripada hampir 15 peratus pada ketika ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Jayaselan berkata sebagai langkah pertama, pihaknya akan berusaha mengurangkan jumlah projek yang bakal dikategorikan sebagai projek sakit.

Beliau berkata seterusnya buat masa sekarang projek sakit akan dipulihkan menerusi pasukan petugas yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Setiap bulan, kita duduk bersama melihat bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini dan setiap bulan akan buat pengumuman projek sakit yang berjaya dipulihkan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas