Berita

Isu saham MAHB: Dakwaan kerjasama dengan Israel adalah hasutan

DAKWAAN yang mengatakan Khazanah menjual saham MAHB kepada syarikat asing adalah tidak benar. - Gambar hiasan
- Diterbit 24 Mei 2024 9:50 AM MYT

KECOH dalam media sosial mendakwa sebahagian saham syarikat aset strategik negara iaitu Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah dijual dan sudah dimiliki oleh syarikat pro-Israel iaitu Global Infrastructure Partners (GIP) yang difahamkan merupakan anak syarikat BlackRock.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab telah mengakibatkan majoriti rakyat melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bermuka-muka.

Perspektif tersebut membentuk pandangan negatif sekali gus turut mendakwa Anthony menggadaikan kedaulatan negara.

Kemarahan rakyat juga dipacu oleh BlackRock sebagai penyokong Israel.

Tidak mudah melenting, Anwar tampil menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan pembangkang itu hanyalah semata-mata untuk melahirkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

“Tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki. Segala kenyataan kita yang diakui oleh dunia termasuk pertemuan dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh tidak beri sesuatu yang positif kepadanya sebaliknya yang dicari adalah fitnah dan hasutan.

“Ringgit dan bursa bertambah mengukuh itu hanya menyakitkan hati mereka (pembangkang),” katanya dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerja rasmi dua hari ke Kazakhstan, baru-baru ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan yang mengatakan bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membeli saham MAHB sehingga 70 peratus manakala lima peratus lagi akan dikuasai kerajaan Abu Dhabi.

Sementara itu, Anthony menafikan dakwaan Khazanah menjual pegangan saham miliknya dalam MAHB kepada sebuah syarikat berkaitan syarikat pro-Israel.

Malah, kata beliau Khazanah hanya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham yang belum dimiliki melalui dua anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Melalui aktiviti ini, Khazanah akan menambah pegangan dalam MAHB, tindakan ini tidak bermakna Khazanah menjual kepentingannya dalam MAHB bahkan Khazanah dan KWSP menambah pegangan dalam MAHB.

“Dakwaan mengatakan Khazanah jual saham MAHB kepada syarikat asing, itu tidak betul.

“Bila dalam pasaran saham, Khazanah campur KWSP hanya 40 peratus selepas konsotium ini ambil secara swasta, Khazanah dan KWSP akan tubuhkan konsortium dan mereka akan menguasai majoriti saham dalam MAHB,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat National Logistik Task Force (NLTF) Kementerian Pengangkutan di Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya.

Sebelum ini, media melaporkan Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk memperoleh semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium itu pada harga tawaran RM11 sesaham.

Konsortium itu diketuai oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan KWSP.

“Langkah Khazanah bertujuan melaksanakan hala tuju MAHB dengan lebih cepat tanpa melalui kelulusan lembaga pengarah yang ada kalanya berbeza pandangan dengan kerajaan,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas