Selebriti

Isu ‘Kak Long 7E’… TV AlHijrah lebih hati-hati

NAMANZEE Harris berkata Kempen Ramadan dan Syawal 1443H di stesen berkonsepkan Islam ini mendokong tema Ramadan Diberkati, Syawal Dirai.
- Diterbit 23 Mac 2022 3:15 PM MYT

SELEPAS dikecam warganet ekoran isu ‘Kak Long 7E’ atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura Bharudin,33, bagi program Trending, stesen TV AlHijrah menerimanya dengan berlapang dada.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati pada masa depan dan perkara yang akan ditonjolkan dalam program.

“Program Trending tidak diharamkan atau ditangguhkan. Episod membabitkan individu itu saja kita ‘put on hold’. Maksudnya orang faham status itu dan rancangan masih diteruskan dengan pengisian berbeza.

“Jujur apabila buat program Trending ia berbeza dengan program televisyen lain. Kita angkat isu tular dan mengetengahkan bagaimana seorang Muslim sepatutnya bereaksi terhadap isu tular. Apabila kita angkat, bermakna kita tidak pernah memilih bulu untuk menjadi ‘trending’ atau itu sesuai atau tidak sesuai.

“Kita melihat pada ketika program itu dirakamkan, pihak berkenaan sudah memohon maaf secara terbuka. Dan apabila melihat isu ini dari sudut ia berlaku, kita pandang dari sudut permohonan maaf itu. Kita tidak ada ruang untuk memikirkan masa depan apa yang akan berlaku,” katanya.

NAMANZEE menunjukkan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah yang boleh diakses di mana-mana sahaja.

Terdahulu Namanzee ditemui pada Pelancaran Kempen Ramadan Syawal 1443H dan Aplikasi Terbaharu TV Alhijrah, hari ini.

Menurut Namanzee, berlaku salah faham daripada hantaran dimuat naik pendakwah bebas, PU Amin selaku hos jemputan pada episod terbabit.

“Keperluan TV Alhijrah pula adalah tanggungjawab. Program ini nak tengok lebih kepada macam mana orang Islam akan beri reaksi pada isu itu.

“Jadi, kita datangkan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki untuk memberikan tazkirah. Sebenarnya untuk rakaman episod itu memang nak siarkan perkara itu yang mana lebih pada apa yang salah, apa yang tidak patut dia buat dan apa yang perlu dilakukan.

“Saya rasa berlaku salah faham apabila hos jemputan PU Amin, dia mempromosikan episod pada ketika itu dan selesai rakaman dia ambil gambar.

“Cara gambar itu diambil seolah-olah kita mengangkat individu itu. Sedangkan kehadiran ustazah di situ, mesej yang ingin disampaikan sangat baik. Ia berkaitan pada semua orang dan keadaan juga.

“Program itu sebelumnya sudah mengangkat ‘unsung heroes’ cuma tidak tular seperti petugas barisan hadapan, pegawai bomba dan ramai lagi. Kami berlapang dada. Apa yang disebarkan di media sosial secara tak baik itu kita ambil pengajaran,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas