Fokus

Isu jual arak: “Haramkan terus tiada masalah” – Awie Wings

- Diterbit 30 Disember 2020 9:00 AM MYT

USAHA Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dalam mengehadkan penjualan minuman keras atau arak disokong penuh oleh penyanyi terkenal Datuk Awie.

Jualan arak hanya di premis-premis tertentu ini akan dikuatkuasakan pada tahun depan  bermula di Kuala Lumpur.

Menurut vokalis kumpulan rock lagenda Wings ini, arak sewajarnya diharamkan terus kerana banyak isu negatif timbul disebabkan minuman itu.

“Diharamkan terus tidak menjadi masalah bagi saya. Saya rasa itu bukan ‘tajuk’ (faktor) utama untuk kemajuan negara. 

“Tajuknya sekarang kita nak majukan negara bukan kerana arak. Jadi kalau nak diharamkan terus tiada masalah,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem 10 Tips Tipu Bini di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman juga berpendapat  arak antara punca kemalangan jalan raya yang membabitkan mangsa yang tidak berdosa.

“Korang ni tak faham bahasa ke? Kan dah cakap, yang mabuk jangan memandu. Kalau boleh jangan mabuk,” ujarnya lagi yang mengaku risau dengan isu pemandu mabuk bagaikan tiada berkesudahan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas