Artikel

Isi masa cuti anak dengan sebaiknya

BASIKAL lajak. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 November 2019 6:25 AM MYT

MUSIM cuti sekolah yang akan bermula minggu hadapan semestinya amat dinanti­-nantikan anak-anak.

Tempoh waktunya yang panjang mung­kin akan membosankan sekiranya anak-anak terperap sahaja di rumah dan semestinya golongan terbabit mahukan ‘kebebasan’ atau mengisinya bersama rakan-rakan sebaya.

Oleh itu, sebagai ibu bapa, mereka perlu memastikan anak-anak memanfaatkan waktu cuti sekolah yang tempohnya hampir dua bulan dengan baik sama ada menghantar ke kelas bahasa tambahan atau agama mahu pun mengikuti program bina jati diri seperti yang diamalkan di luar negara.

Ini kerana, sekiranya anak-anak tidak mempunyai aktiviti untuk diisi pada masa terluang, mereka mungkin terjebak dengan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan seperti berlumba di jalan raya menggunakan basikal lajak. Mungkin tidak ramai kanak-kanak terlibat dengan aktiviti baharu ini, tetapi golongan seperti itu masih ada dan perlu dibanteras.

Ada pula sesetengahnya yang gemar menghabiskan masa dengan bermain di sungai atau lombong sama ada mandi­-manda atau pun memancing.
Bagi aktiviti ini, waktu sekarang adalah tidak sesuai kerana musim tengkujuh yang mana taburan hujan lebih banyak berbanding biasa dan menyebabkan paras air sungai meningkat.

Dibimbangi anak-anak lemas sekiranya mereka berada berhampiran kawasan-kawasan sungai atau lombong tanpa pengawasan orang tua.
Malahan, insiden lemas dilihat sebagai punca utama kematian melibatkan kanak-kanak pada masa ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) , secara purata terdapat 700 kes lemas setiap tahun yang mana peningkatan sebanyak 26 peratus direkodkan pada 2017 berban­ding tahun sebelumnya.

Justeru, bagi mengelakkan ibu bapa menangisi pemergian anak-anak yang secara ‘tiba-tiba’, mereka perlu memastikan masa terluang diisi dengan sebaiknya.

Jika berkemampuan dan berkelapa­ngan, bawalah anak-anak bercuti. Cukup di dalam negara kerana terdapat pelbagai tempat menarik yang sesuai untuk golongan itu seperti Zoo Negara, Planetarium Negara atau sekadar beriadah pada waktu petang.

Jangan abaikan anak-anak atau menghantar mereka ke kampung untuk dijaga oleh orang tua yang sudah tidak mempunyai kudrat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas